Samun dan ragut, polis berkas lapan lelaki

Polis dapat menumpaskan tiga kejadian samun dan ragut di Subang Jaya dan Puchong antara Rabu lepas sehingga semalam berikutan penahanan lapan lelaki di sekitar daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid berkata polis menahan lapan lelaki termasuk seorang pembeli barangan hasil samun itu, yang berumur antara 16 dan 40 tahun.

Penahanan mereka dibuat hasil maklumat orang ramai, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada empat pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membantu polis dalam kejadian samun itu.

“Dalam kejadian pertama pada 22 Jun kira-kira 3.50 petang, seorang wanita berumur 36 tahun yang sedang berjalan di lorong SS17/1E, Subang Jaya, telah didatangi dua lelaki menaiki skuter bewarna hitam.

“Mereka yang datang dari arah hadapan mangsa itu terus meragut rantai lehernya menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami luka dan terseliuh siku kiri,” katanya.

Zainal berkata hasil maklumat orang awam, polis menahan dua remaja lelaki masing-masing berusia 16 tahun dan lelaki berumur 30-an kerana membeli rantai daripada remaja terbabit.

Dalam kejadian kedua pada 23 Jun, dua lelaki berumur 33 dan 40 tahun, yang meragut beg tangan seorang wanita, ditahan di Jalan SS15/4D kira-kira 6.45 petang.

“Mangsa berumur 18 tahun ketika itu berjalan berseorangan sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dari arah belakang mangsa. Setelah begnya diragut, mangsa terjatuh dan mengalami cedera di siku kanan,” katanya.

Zainal berkata empat pekerja TNB yang berada tidak jauh dari tempat kejadian sempat mengejar suspek dan menahan seorang daripada mereka.

“Hasil siasatan lanjut, suspek yang melarikan diri itu dapat diberkas keesokannya dan barangan mangsa seperti telefon bimbit dan wang tunai diperolehi semula,” katanya sambil menambah kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod jenayah
dan dadah.

Bagi kes ketiga pula, tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas merampas wang tunai dan telefon bimbit milik seorang lelaki di bulatan Puchong Perdana, 26 Jun lepas.

Zainal berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa berumur 17 tahun sedang menunggang motosikalnya sebelum ditahan tiga suspek tersebut yang menaiki dua motosikal.

“Tiga suspek berumur 17 hingga 22 tahun mengaku sebagai anggota polis sebelum merampas dompet mangsa dan sejumlah wang tunai serta telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata kereta peronda polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan dua daripada suspek manakala seorang lagi yang sempat melarikan diri dapat diberkas keesokannya.

“Suspek berumur 17 tahun itu masih belajar di sekolah menengah dan dua lagi bekerja di kilang. Kesemua motosikal yang terlibat dalam kes samun dan ragut ini turut dirampas,” katanya.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE