Tiga negeri belum lulus peralihan kuasa urus sisa pepejal

Tiga negeri belum lulus peralihan kuasa urus sisa pepejal

Tiga negeri menyatakan rasa tidak puas hati terhadap peralihan kuasa kepada kerajaan pusat bagi mengurus sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri-negeri, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lajim Ukin.

“Negeri Perak ditangguhkan, negeri Pulau Pinang telah menolak dan negeri Selangor belum menyatakan pendirian walaupun mereka tidak menerima,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) di Dewan Rakyat hari ini.

Chow ingin mengetahui negeri yang belum meluluskan peralihan kuasa mengurus sisa pepejal dan pembersihan awam kepada kerajaan persekutuan.

Lajim berkata peralihan kuasa tersebut masih belum dilaksanakan kerana kerajaan masih belum menetapkan tarikh penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672.

Mengenai pengecualian penguatkuasaan akta itu, beliau berkata kerajaan boleh mengecualikan mana-mana negeri daripada penguatkuasaannya berdasarkan Seksyen 104.

“Sekiranya tidak dikuatkuasakan di sesebuah negeri, maka kerajaan persekutuan tidak akan melaksanakan penswastaan di negeri tersebut.

“Oleh itu, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam akan dilaksanakan sendiri oleh negeri berkenaan tanpa bantuan teknikal dan kewangan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Pelaksanaan Akta 672 ditangguh berikutan terdapat beberapa aspek teknikal yang perlu diberi penekanan terlebih dahulu.

– Bernama