Wang ihsan untuk semua rakyat Kelantan

Wang Ihsan yang diterima daripada kerajaan Pusat adalah untuk rakyat Kelantan keseluruhannya dan pemberian itu tidak perlu sama sekali dipolitikkan.

Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) berkata tindakan kerajaan Kelantan pimpinan PAS yang tidak habis-habis menuduh pemberian wang ihsan itu sebagai “gula-gula” politik adalah tidak wajar sama sekali.

“Ini untuk rakyat Kelantan, tidak ada pilih kasih bagi mereka yang layak menerimanya. Kita tidak rampas wang ini dari mana-mana tapi diberikan untuk rakyat Kelantan.

“Wang ini diberikan kerana Kelantan berhak menerimanya dan janganlah kita membuat andaian yang pelbagai,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darul Naim di
sini, hari ini.

Penjelasan Abdul Aziz itu bagaimanapun terganggu beberapa kali apabila Hassan Mohamood (PAS-Tawang) bangun mencelah dengan mendakwa sewajarnya wang ihsan itu diberikan terus kepada kerajaan negeri untuk ditadbir urus.

Abdul Aziz turut meminta Hassan menarik balik kata-katanya yang menyebut pemberian wang ihsan itu diibarat diserahkan “perompak untuk perompak” sebagai satu perumpamaan yang tidak wajar.

“Tarik balik kata-kata itu dan tidak benarlah sampai diibarat dengan kata-kata sebagai perompak itu,” katanya.
Abdul Aziz juga membidas pihak Ladang Rakyat yang didakwanya telah merampas tanah yang dimiliki penduduk di Kampung Lubuk Bongor, Jeli.

“Mereka merampas tanah rakyat yang ada geran dan ini sangat zalim,” katanya. Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob kemudiannya bangun menjelaskan ia merupakan satu kekeliruan sahaja dan masalah itu telah pun diselesaikan.

Isu larangan akhbar Utusan Malaysia membuat liputan persidangan itu turut disentuh seorang penyokong kerajaan, Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) yang mahu akhbar itu memohon maaf secara terbuka atas penyiaran
satu karikatur yang didakwa menghina Islam.

“Kita larang sebab karikatur itu dan bukannya kerana tidak menyokong kita. Kita minta agar akhbar itu mohon maaf secara terbuka dan barulah larangan ini ditarik semula,” katanya.

Abdul Latif yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan dilaporkan turut menghantar memorandum bantahan atas penyiaran karikatur itu di pejabat Utusan Malaysia di sini selepas persidangan berhenti rehat.

– Bernama