Polis tumpas tiga sindiket dadah di Lembah Klang

Polis tumpas tiga sindiket dadah di Lembah Klang

Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah, yang turut dianggotai warga Uzbekistan yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang dan merampas dadah bernilai kira-kira RM1.1 juta dalam tiga serbuan berasingan.

Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah, yang turut dianggotai warga Uzbekistan yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang dan merampas dadah bernilai kira-kira RM1.1 juta dalam tiga serbuan berasingan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh Ishar Singh berkata dalam serbuan terbaru semalam, polis menahan dua wanita dan dua lelaki warga asing serta merampas sejumlah dadah syabu yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Kira-kira pukul 12.30 pagi, polis melakukan serang hendap ke atas sebuah kereta Honda Civic dan menahan seorang lelaki warga Uzbekistan yang berusia 29 tahun di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ismail.

“Polis menemui satu bungkusan paket plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi ketulan jernih yang disyaki syabu seberat 711 gram pada suspek,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut ke atas suspek, polis kemudiannya menyerbu sebuah unit ‘service apartment’ di Jalan Ampang dan menahan dua wanita warga Uzbekistan serta seorang lelaki Filipina yang berusia di antara 29 hingga
37 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam unit tersebut polis menemui lagi 5.8 kilogram dadah jenis syabu di dalam enam bungkusan plastik lutsinar.

“Saringan awal ke atas keempat-empat suspek didapati positif dadah jenis syabu dan ini merupakan kali pertama di Kuala Lumpur kita menahan warga Uzbekistan terlibat dalam pengedaran dadah,” katanya.

Amar Singh berkata pada hari yang sama kira-kira pukul 2 pagi, sepasukan polis menahan lima warga tempatan termasuk seorang wanita di sebuah rumah kedai di Kampung Pandan dan merampas sejumlah dadah bernilai RM9,500.

“Dalam serbuan itu polis menemui 80 paket heroin seberat 139 gram dan 70 biji pil Eramin 5 seberat 19 gram di dalam foil aluminium dan saringan urin mendapati kesemua mereka positif dadah,” katanya.

Beliau berkata pada 30 Mei pula, kira-kira pukul 5.15 petang, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Anggerik, Cheras yang dipercayai aktif mengedar dadah jenis heroin.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah sewa itu, polis menemui heroin gred A seberat 450 gram, 300 gram heroin ‘base’ yang belum siap dan 4,000 gram serbuk bahan untuk membuat dadah.

“Saringan awal urin ke atas kedua-dua suspek yang merupakan rakan didapati positif kokain dan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM44,000.

“Suspek lelaki yang berusia 56 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya sambil menambah wanita tersebut berusia 37 tahun.

Amar Singh berkata ketiga-tiga kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan kesemua suspek direman selama seminggu dari tarikh ditahan.

Beliau berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan yang lalu.

“Polis sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ini dan punca bekalan dadah diperolehi,” katanya sambil menambah kesemua serbuan dibuat melalui risikan dan maklumat orang awam.

– Bernama