Kretek bernilai RM422,909 dirampas penguatkuasa

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di Kuala Linggi, merampas 4,800 karton rokok kretek pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Ketua Penguatkuasa APMM daerah Kuala Linggi, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata lima anggota agensi tersebut pada mulanya mengesan sebuah bot pancung di perairan Tanjung Sepat, Selangor pada pukul 9 malam tadi.

“Apabila menyedari kehadiran APMM, bot itu terus memecut ke arah pantai Tanjung Sepat dan kemudiaannya dua orang yang menaiki bot itu meloloskan diri dalam kawasan hutan nipah berdekatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibrahim berkata hasil pemeriksaan ke atas bot yang tiada nombor pendaftaran itu, pihaknya menemui 60 guni berisi 4,800 karton rokok keretak pelbaga jenama.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan rokok itu berserta enjin dan bot, dianggarkan sebanyak RM422,909.

Katanya kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang-barang tanpa kelulusan Kastam.

Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan tersebut atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau
kedua-duanya, kata nya.

– Bernama