DVD dan VCD bernilai RM120,000 dirampas

DVD dan VCD bernilai RM120,000 dirampas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang merampas 12,000 keping VCD dan DVD cetak rompak bernilai kira-kira RM120,000 dalam satu operasi di sini awal minggu ini.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Pahang merampas 12,000 keping video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak bernilai kira-kira RM120,000 dalam satu operasi di sini awal minggu ini.
Pegawai Penguatkuasanya Anuar Zaidi Mohd Ramli berkata operasi yang bermula pukul 11 pagi itu melibatkan 12 petugas yang membuat pemeriksaan serentak di enam premis jualan.

Bercakap kepada pemberita di sini beliau berkata pemeriksaan mendapati semua enam premis itu menjual VCD dan DVD yang tidak mempunyai pelekat tulen. Katanya semua kes kini sedang disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.