Kemasukan warga Afrika secara sah tak boleh dihalang

gambar hiasan

 

Jabatan Imigresen Malaysia tidak boleh menolak kemasukan warga Afrika ke Malaysia, sekiranya mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Katanya, selagi warga Afrika yang berada di negara ini tidak melakukan sesuatu yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan awam, pihak Imigresen menganggap kedatangan mereka ke negara ini adalah berniat baik dan boleh diterima.

Bagaimanapun, bagi memastikan tidak wujud insiden yang tidak diingini di kalangan warga Afrika terutamanya mereka yang datang untuk melanjutkan pelajaran ke Malaysia, Alias meminta kerjasama pihak institut pengajian tinggi dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengadakan sesi penerangan tentang budaya masyarakat negara ini kepada pelajar asing.

“Saya berharap pihak kolej turut memantau pergerakan pelajar warga asing termasuk warga Afrika yang tidak hadir ke kelas dan memaklumkan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk tindakan susulan,” katanya dalam temuramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Antara lain, beliau ditanya mengenai kedatangan warga Afrika yang dikatakan semakin meningkat ke negara ini, sehingga mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Alias berkata sepanjang tahun 2010, lima buah kolej telah dibatalkan permit operasi kerana kegagalan memantau pergerakan pelajar asing.

Beliau turut menafikan persepsi orang ramai kononnya pihak Imigresen menghadapi kesukaran mengawal kemasukan warga Afrika ke Malaysia dan menegaskan pegawai imigresen mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghadapi situasi sedemikian.