Penduduk Pangsapuri Persiaran Tanjung tidak puas hati dengan pengurusan

Dari jauh kelihatan tersergam indah Pangsapuri Persiaran Tanjung yang terletak berhampiran dengan pusat membeli belah Plaza Angsana yang terkenal di Tampoi, Johor Bahru.

Tetapi apabila melangkah memasuki pangsapuri ini, pasti kita akan terperanjat dengan keadaan bangunan yang usang berdinding retak dengan infrastruktur yang buruk dan persekitaran yang kotor terutama di kawasan sekitar kafeteria dan kolam renang.

PANGSAPURI PERSIARAN TANJUNG 2
Infrastruktur awam yang terjejas teruk 

Beberapa penduduk pangsapuri ini yang tidak berpuas hati dengan penyelengaraan pangsapuri ini tampil untuk membuat aduan dengan CJMY terhadap jawatankuasa penduduk dan pihak pengurusan pangsapuri.

Radziah Ayub, 47. yang tinggal di tingkat 17 pangsapuri ini berkata daripada dua lif di pangsapuri itu, salah satu daripadanya sudah tiga tahun tidak diperbaiki. Malah lif yang satu lagi kerap kali rosak.

“Sekarang ini kaki saya selalu sakit akibat terpaksa menaiki 17 tingkat,” keluh Radziah.

Selain itu, Radziah juga menunjukkan keadaan lantai dan perabut di rumahnya yang hancur akibat dimamah anai-anai.

PANGSAPURI PERSIARAN TANJUNG 5
Radziah Ayub merupakan salah seorang penghuni Pangsapuri Persiaran Tanjung.

“Setelah setahun saya diami pangsapuri ini, masalah anai-anai semakin merosot. Saya telah rujuk perkara ini kepada pihak pemaju, Amona Sdn.Bhd., tetapi mereka hanya menyelesaikan sebahagian sahaja masalah anai-anai ini dan tidak mampu meneruskan kerja pembaikan kerana kos yang tinggi,” ujarnya lagi

Malah Radziah juga turut menunjukkan kepada CJMY keadaan dinding rumahnya yang retak.

“Lihatlah bagaimana dinding rumah saya yang retak ini!” kata Radziah.

PANGSAPURI PERSIARAN TANJUNG 3
Puan Radziah menunjukkan dinding retak

Apabila CJMY merujuk masalah ini kepada pemaju Amona Sdn.Bhd., jurucakap pemaju, Nasrullah Salim berkata sekiranya penduduk berasa tidak selamat untuk mendiami pangsapuri tersebut, mereka sepatutnya membuat aduan rasmi melalui Jawatankuasa Pendududuk kepada Majlis Perbandaran Johor Bahru (Pesuruhjaya Bangunan) yang akan membuat penilaian keselamatan semula terhadap bangunan ini dan mengeluarkan “Certificate of Fitness” sekiranya ia selamat untuk didiami.

Mengenai masalah anai anai pula, Nasrullah berkata pihak pemaju perlu menangani kes ini secara berasingan kerana tidak semua penghuni mengalami masalah anai-anai. Katanya lagi pemaju telah menyerahkan kuasa pengurusan bersama kepada Jawatankuasa Penduduk pada November 2013 dan jawatankuasa itu harus bertindak berdasarkan peruntukan Akta Hakmilik Starta 1985.

Seorang lagi penduduk pangsapuri ini, Santhosa Singam RJ Mahesan, 46, yang memegang status “OKU” (Orang Kurang Upaya) akibat kecacatan yang dialami beberapa tahun lepas berkata beliau sudah membuat laporan polis and menghantar notis guaman terhadap pihak pengurusan kerana gagal untuk menyelesaikan masalah tandas bocor yang dialaminya sejak sembilan tahun yang lepas.

PANGSAPURI PERSIARAN TANJUNG 1
Santhosa Singam RJ Mahesan yang merupakan salah seorang penduduk Pangsapuri Persiaran Tanjung menunjukkan unit kedai serbaguna.

Ujarnya lagi, beliau juga bimbang tentang keselamatannya memandangkan terdapat kedai serbaguna yang beroperasi di tingkat bawah kediamannya yang menyimpan dan menjual gas masak walaupun pemaju sudah mengeluarkan notis melarang penjualan dan penyimpanan gas masak di dalam permis tersebut seperti yang ditetapkan dalam MS830.

Apabila masalah ini dirujuk kepada pihak pengurusan pangsapuri Kensington Sdn.Bhd., CJMY diberitahu perkara ini sudah pun dibawa kepada perhatian pemilik perniagaan tersebut tetapi pemilik perniagaan itu masih tidak mahu akur dengan larangan pihak pengurusan.

Memandangkan pemilik perniagaan masih berdegil untuk menjual gas masak, pihak Kesington menyerahkan masalah ini kepada pihak jawatankuasa penduduk dan Pesuruhjaya Bangunan Johor Bahru untuk diambil tindakan selanjutnya.

PANGSAPURI PERSIARAN TANJUNG 4
Lif pangsapuri yang tidak berfungsi selama 3 tahun.

Santhosa juga mendakwa segelintir ahli jawatankuasa penduduk mempunyai kepentingan dalam pemberian kontrak perniagaan di pangsapuri ini.

Beliau juga berpendapat bahawa penyelewengan kuasa berlaku kerana tempoh kontrak yang begitu lama diberikan kepada pemilik perniagaan yang beroperasi di pangsapuri tersebut.

Penduduk juga mendakwa jawatankuasa penduduk telah menyeleweng sebahagian besar dana penyelengaraan untuk membayar ganti rugi kes mahkamah yang dibawa oleh pengurusan yang lampau. Ini menurut penduduk menyalahi undang undang kerana jawatankuasa penduduk menyalahgunakan kuasa mereka membayar gantirugi tanpa persetujuan penduduk pangsapuri.

Apabila CJMY menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Yee Thian Kee, untuk maklum balas, Yee secara terang menafikan semua dakwaan ini.

Usaha untuk mendapatkan maklum balas rasmi daripada pejabat Pesuruhjaya Bangunan Johor Bahru tidak membuahkan sebarang hasil.