Suspek simbah asid ditangkap dalam video CCTV

Suspek simbah asid ditangkap dalam video CCTV

Polis telah mendapat gambaran suspek kes simbah cecair dipercayai asid, menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di beberapa lokasi kejadian.

Polis telah mendapat gambaran suspek kes simbah cecair dipercayai asid, menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di beberapa lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata menerusi CCTV itu, polis dapat mengecam warna kulit, umur serta bentuk badan suspek itu.

“Suspek berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an, berbadan gempal dan kurus, mereka juga menggunakan dua jenis motosikal ketika melakukan jenayah itu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid di Lembah Klang dan 70 peratus daripada kes itu dilakukan berseorangan manakala 30 peratus lagi dilakukan berpasangan.

Mohd Bakri berkata jenis cecair yang diguna juga merupakan bahan kimia yang sukar didapati.

Perbuatan jenayah itu dikesan aktif mulai Februari hingga 27 Mac lepas apabila 18 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh itu.

Kejadian yang reda seketika selepas 27 Mac lepas, berulang kembali pada 6 dan 7 Mei dengan masing-masing dua kes dilaporkan di daerah Sentul dan Dang Wangi.

– Bernama