Kemukakan calon beri sumbangan pelihara alam sekitar

Kemukakan calon beri sumbangan pelihara alam sekitar

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil inisiatif menyediakan Anugerah Tokoh Hijau Petaling Jaya sebagai penghargaan kepada warga Petaling Jaya yang memberikan sumbangan besar dalam bidang pembangunan mampan, khususnya pemeliharaan alam sekitar.

Gambar hiasan

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil inisiatif menyediakan Anugerah Tokoh Hijau Petaling Jaya sebagai penghargaan kepada warga Petaling Jaya yang memberikan sumbangan besar dalam bidang pembangunan mampan, khususnya pemeliharaan alam sekitar.

Ahli Majlis MBPJ, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata pencalonan adalah berasaskan kepada individu yang telah membuat sumbangan yang bersesuaian sekurang-kurangnya tiga tahun.

Menurutnya, calon yang layak untuk dipertimbangkan adalah penduduk bermastautin sekurang-kurangnya tiga tahun di Petaling Jaya yang telah memberikan sumbangan besar atau bukan penduduk daerah tetapi telah membuat sumbangan yang signifikan di kawasan itu lebih daripada tiga tahun dan penduduk Petaling jaya yang memberikan sumbangan di tempat lain di peringkat kebangsaan atau dunia.

“Selain daripada syarat yang dinyatakan, individu tersebut tidak boleh mencalonkan diri sendiri.

“Anugerah ini merupakan julung kali dianjurkan oleh Pasukan Petugas Green City of Petaling Jaya, MBPJ sempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-5 Bandaraya Petaling Jaya,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat MBPJ, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perancangan Pembangunan MBPJ, Noraini Roslan berkata penganjuran anugerah seperti ini mampu mengangkat individu atau calon yang mementingkan alam sekitar supaya ia kekal hijau dan bersih yang menjadi contoh baik kepada generasi akan datang.

Menurutnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu mahu melahirkan individu, keluarga, komuniti yang mempunyai kesedaran, pengetahuan dan mengamalkan kehidupan yang meninggalkan seminima karbon di muka bumi ini dan itu merupakan cabaran paling besar kita hadapi.

Menurutnya, anugerah ini juga mengambil kira bidang yang spesifik atau kombinasi bidang-bidang daripada individu yang dicalonkan, antaranya adalah promosi dan sumbangan yang cemerlang dalam penyediaan dan pelaksanaan program selaras dengan pembangunan mampan.

“Selain itu usaha-usaha mengurangkan masalah pengurangan sisa buangan pepejal dan air dan menghijaukan kwasan persekitaran,” katanya.

MBPJ menyediakan hadiah wang tunai sebanyak RM 2,000, sijil penghargaan berserta plak Tokoh Hijau dan insentif lain kepada seorang pemenang sahaja dan Majlis Penyampaian Anugerah akan diadakan pada penggal pertama bulan Julai.

Bagi mereka yang mempunyai calon yang bersesuaian untuk dicalonkan bolehlah mengisi borang pencalonan yang boleh dimuat-turun daripada laman web : www.mbpj.gov.my dan borang yang telah lengkap diisi boleh dihantar ke alamat : Pasukan Petugas Green City of Petaling Jaya, Unit OSC MBPJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jalan Yong Shook Lin, 46675, Petaling Jaya.

Tarikh pencalonan telah dibuka mulai hari ini sehingga 10 Jun 2011.