Pusat urut kaki dan kedai siber judi haram diserbu

Pusat urut kaki dan kedai siber judi haram diserbu

Sebanyak 12 tilam, 9 bantal, 8 tuala, 2 televisyen, 1 DVD, 39 monitor dan 9 CPU telah disita di mana pihak majlis akan mengambil tindakan kesalahan undang-undang dan juga keatas lesen perniagaan, ujar Ahli majlis MBPJ Zon 8, Tony Cheong.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah membuat satu operasi keatas premis urut kaki dan kedai siber berjudi di SS2, Petaling Jaya baru-baru ini.

Operasi itu diketuai oleh Jabatan Penguatkuasa bahagian hiburan bersama seramai 30 orang anggota penguatkuasa.

Ia turut disertai oleh dan pengawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Tred, Jabatan Perlesenan dan Agensi Anti Dadah Kawasan (AADK).

Ahli Majlis MBPJ Zon 8, Tony Cheong Siew Thong berkata sebanyak 7 premis telah diperiksa lesen perniagaan dalam operasi bermula jam 3 petang dan berakhir 6 petang.

Menurutnya tujuan operasi tersebut diadakan untuk membuat pemeriksaan keatas lesen perniagaan, lesen papan tanda dan juga pemantauan berikutan aduan yang diterima olehnya.

Katanya berdasarkan aduan daripada orang ramai menyatakan kedai siber judi yang telah lama ditutup telah kembali beroperasi sejak kebelakangan ini.

“Semasa operasi dijalankan, terdapat 4 premis urut kaki yang tidak berlesen, 1 premis urut kaki berlesen tetapi tidak mematuhi syarat perniagaan dan 2 siber berjudi.

“Sebanyak 12 tilam, 9 bantal, 8 tuala, 2 TV, 1 DVD, 39 monitor dan 9 CPU telah disita di mana pihak majlis akan mengambil tindakan atas kesalahan undang-undang dan juga lesen perniagaan jika sabit kesalahan lesen boleh dibatalkan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tony Cheong berkata bagi pihak AADK, dua orang telah ditangkap dan didapati positif dalam pemeriksaan air kencing di mana kesemua kesalahan akan diambil tindakan mahkamah dan undang-undang perlesenan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan premis yang telah menjalankan perniagaan tanpa sebarang lesen atau permit perniagaan membuat permohonan secepat mungkin supaya mengelakkan tindakan undang-undang dari MBPJ.

“Selain itu, MBPJ juga akan menjalankan operasi pemeriksaan dalam bidang kebersihan atas restoran dan penjaja supaya kebersihan makanan dan alam sekitar dapat dijaminkan,” katanya.

Tony Cheong berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga menasihatkan kalangan masyarakat supaya menanamkan sikap dan minda cintai bandaraya Petaling Jaya dan menjaga kebersihan persekitaran.

Pada masa yang sama, beliau merayu kepada penjaja supaya sentiasa mendisplinkan diri supaya menyediakan tong sampah mengikut keperluan kegunaan semasa berniaga.

“Ini membolehkan kerja pembersihan sampah dapat dijalankan dengan lebih berkesan selepas waktu tamat berniaga,” katanya.