Seramai 150 buah keluarga yang mendiami Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia atau lebih dikenali sebagai Rumah Iskandar Malaysia di Lima Kedai Gelang Patah telah diberi notis mahkamah untuk menggosongkan rumah mereka.
Urutan daripada perintah mahkamah tersebut, pihak pengurusan Prisma Harta Sdn Bhd telah bertindak merantai dan mengunci sebilangan daripada rumah tersebut.
Jurucakap wakil penduduk Rumah Iskandar Malaysia, Abu Zar Abdullah, berkata dalam satu kejadian pekerja pengurusan merantai dan mengunci walaupun menyedari ada penghuni yang masih lagi berada di rumah tersebut.
Menurut Abu Zar, yang mendiami rumah mampu milik itu sejak Januari 2012, penduduk diusir keluar kerana masalah tunggakan dan pendapatan minima yang disyaratkan oleh pihak pengurusan untuk mendiami Rumah Iskandar Malaysia tersebut.
Abu Zar berkata semasa menandatangani perjanjian dengan Prisma Harta, beliau dalam tanggapan bahawa rumah yang didiami itu bakal menjadi miliknya seperti mana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri dalam ucapan perasmian pada Disember 2011.
Rumah Iskandar Malaysia dirasmikan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak. Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata kerajaan serius dalam memastikan semua keluarga di negara ini terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah mendapat perumahan yang baik.
Ramai penghuni Rumah Iskandar Malaysia, tidak mahu melangsaikan tunggakan mereka kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan Prisma Harta yang menaikkan sewa tanpa sebarang penjelasan. Abu Zar juga mendakwa pihak pengurusan telah memalsukan tandatangannya dalam perjanjian baru yang menyebelahi pihak pengurusan.
Wakil rakyat and pemimpin Parti Keadlian Rakyat menyifatkan isu ini sebagai satu penganiayaan terhadap rakyat miskin.
Peguam YB Jimmy Puah pula menyifatkan perbuatan merantai rumah walaupun menyedari penghuni masih di dalam rumah adalah satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi kemanusiaan.
Pengerusi PKR Johor, Peguam Hassan Karim berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi harta rakyat mengikut Perkara 13 seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Seorang lagi pemimpin PKR Rony Murugan berkata dia difahamkan bahawa pengurusan berminat untuk menyewa rumah yang dikosongkan kepada pekerja Legoland kerana sewa yang tawarkan adalah lebih tinggi iaitu RM1000 berbanding RM400 yang diterima daripada penghuni sekarang.
Usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada Prisma Harta Sdn.Bhd tidak membuahkan sebarang hasil.