Ops Payung: Tun Hisan ingatkan polis jangan lepak bawah payung

Ops Payung: Tun Hisan ingatkan polis jangan lepak bawah payung

Kelakuan anggota polis di bawah penempatan “Ops Payung” yang kurang berdisiplin, boleh menjatuhkan imej pasukan itu di mata orang ramai, kata Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah.

Beliau berkata jika mereka didapati melakukan kesalahan itu buat pertamakali, mereka akan diberi teguran dan sekiranya berulang, tindakan tatatertib boleh dikenakan.

Tun Hisan berkata demikian ketika melancarkan fasa kedua Ops Payung yang melibatkan penambahbaikan peralatan seperti meja, payung, lampu dan “beacon” (lampu berwarna biru) untuk kegunaan pasukan polis di 14 daerah di Selangor di Ibu Pejabat Kontijen Polis Selangor.

Di bawah operasi ini, seorang anggota polis akan diletakkan di bawah payung yang dilengkapi meja dan kerusi bagi mengawasi ketenteraman awam sementara dua lagi anggota akan melakukan rondaan di satu-satu tempat.

Tun Hisan berkata, “beacon” yang diletakkan di atas payung akan memudahkan orang ramai melihat kehadiran polis di kawasan mereka dari jauh untuk mendapatkan bantuan jika berlaku jenayah terutamanya pada waktu malam.

Meja baru yang dibekalkan pula boleh diubah menjadi papan tanda bagi menjalankan sekatan jalan raya sekiranya berlakunya kejadian jenayah berhampiran kawasan mereka berkawal.

– Bernama