Pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di Lembah Ria, Ayer Itam di sini semalam dan merampas lebih 100,000 keping pelbagai jenis cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) lagu dan filem cetak rompak bernilai RM512,760.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya M.Guna Selan berkata berdasarkan intipan sejak dua minggu lepas, sepasukan pegawai penguatkuasa menyerbu rumah teres setingkat itu pada 5.30 petang dan mendapati ia dijadikan stor menyimpan CD dan DVD filem serta lagu cetak rompak untuk diedarkan di negeri itu.
“Kita menahan dua lelaki dipercayai pekerja di situ,” katanya kepada pemberita hari ini. Guna Selan berkata dalam pemeriksaan lanjut pihaknya merampas 97,904 keping DVD filem, 650 keping DVD lagu dan 3,498 keping CD lagu yang dipercayai diproses di tempat lain dan dihantar ke rumah berkenaan untuk disimpan sebelum diedarkan.
Katanya siasatan awal mendapati sindiket berkenaan juga mempunyai beberapa kedai di Pulau Pinang yang dijadikan tempat menjual CD dan DVD cetak rompak berkenaan.
— Bernama