Dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi popular era 1980-an Allahyarham Mohd Nasir bin Abdul Wahab atau lebih dikenali umum dengan nama pentas Nassier Wahab. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 12.45 tengah malam tadi.
Allahyarham, 57 tahun semasa meninggal dunia telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu. Selepas itu arwah melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi dan kimoterapi. Pembantu peribadinya, Ariff Salim memberitahu, Allahyarham pergi dalam keadaan mengejut selepas muntah darah kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Merperingati kehidupan dan kerjaya Allahyarham Nassier Wahab
- Allahyarham lahir di Kota Kuala Muda, Kedah pada 18 April 1962. Beliau merupakan anak ke 12 daripada 14 orang adik beradik. Antara lagu lagu hit beliau adalah Memori Cinta Luka, Bayangan Wajah Duka, Sebuah Janji Tak Bererti, Sekali Aku Jatuh Cinta, dan Undangan Rindu.
- Beliau memajukan kerjayanya dengan memperoleh kelulusan sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Kolej Joseph Chamberlain, Birmingham, United Kingdom
- Nassier yang dikenali dengan wajahnya yang awet muda pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada tahun 1987 dan 2004.
- Nassier juga pernah membuktikan bakat lakonannya apabila membuat kemunculan di layar perak dengan membintangi filem Si Jantung bersama AR Badul, Ibrahim Din dan Faridah Fasha. Beliau juga menjayakan drama Episod Terakhir bergandingan dengan Eman Manan dan Shiela Rusly.
- Generasi sekarang lebih mengenali arwah menerusi penyertaan dalam Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada tahun 2015 yang meletakkannya dalam kedudukan keempat pada peringkat terakhir.
- Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah, 22.