Seorang pekerja kilang kayu getah dipenjara empat tahun dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan anak teman wanitanya dua tahun lepas.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tey Kian Min, 29, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Tey didakwa memukul kanak-kanak berumur lima tahun itu di rumah beralamat No 14, Jalan 7/17, Taman Padason Off Kepong di sini pada 10 malam 19 Feb 2008.
Terdahulu peguam N. Subramaniam yang mewakili Tey memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan keran Tey perlu menyara tiga orang anak serta ibu bapanya yang sedang uzur di Segamat, Johor.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Tey memukul kanak-kanak itu menggunakan rotan di ruang tamu tingkat bawah rumah itu sebelum membawanya ke tingkat atas dan terus memukulnya menggunakan tali pingang.
Kanak-kanak itu meninggal dunia di Hospital Selayang pada 20 Feb 2008.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli.
– Bernama