NGO tuntut kuota 25 peratus ahli majlis S’gor

NGO tuntut kuota 25 peratus ahli majlis S’gor

Gabungan Ahli Majlis Dari Badan Bukan Kerajaan dan Profesional (Conpac) menuntut Pakatan mengotakan janji diumumkan pada tahun pertama pemerintahan di Selangor sebanyak 25 peratus kuota NGO  di kalangan golongan profesional, akademik dan NGO.

Setiausaha Conpac, Cynthia Gabriel berkata, ia berikutan hanya seramai lima ahli NGO setakat ini memenuhi kuota mengangkat sumpah ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seperti yang dijanjikan.

Menurutnya, terdapat masalah di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain berhubung pelantikan ahli NGO.

“Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kuota ahli NGO dikurangkan daripada tujuh kepada tiga dan di Majlis Perbandaran Klang (MPK) lima kepada satu.

“Manakala tiada lantikan ahli NGO di kawasan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS). Kita memang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Cynthia berkata, Conpac tidak mahu pelantikan ahli NGO disalah tafsir seperti satu sumbangan ‘derma’ kepada ahli-ahlinya.

Tegasnya, itu bukannya `hadiah` kepada Conpac tetapi sekarang apa yang berlaku parti politik berebut-rebut nak ambil kerusi (NGO) itu.

“Sebab itu kita buat perbincangan(briefing) bukan kita tidak sokong Pakatan kita rasa memang kena ada keadilan di semua peringkat, itu saja,” katanya.

Beliau ditemui Komunitikini di Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MBPJ sesi 2010/2011.

Upacara mengangkat sumpah disaksikan oleh Datuk Bandar MBPJ, Datuk Roslan Sakiman dengan rombakan seramai lima muka baru sementara 19 ahli majlis dikekalkan.

Beliau yang juga ahli majlis MBPJ memberitahu kriteria pemilihan ahli NGO menjawat jawatan ahli majlis dinilai dari segi kepakaran dan pengalaman sebelum ini pernah berkhidmat dalam komuniti setempat.

Menurutnya, perwakilan NGO cenderung dalam menangani isu kemasyarakatan dan juga kebebasan dari segi cara pemikiran dan penyelesaian secara menyeluruh.

Tambahnya, fungsi utama setiap ahli NGO di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memberikan perkhidmatan dari segi kepakaran yang ada berbeza dengan ahli majlis mewakili parti politik.

“Kita bebas berfikir dan apa yang kita rasakan terbaik kepada komuniti dalam usaha menyelesaikan masalah.

“Perwakilan NGO sepatutnya tidak perlu terikut dengan parti politik yang lain,” katanya.