Dendang muzik tanda kehadiran lori sampah

Dendang muzik tanda kehadiran lori sampah

Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memperkenalkan bunyi muzik untuk memaklumkan kepada penduduk kehadiran lori kontraktor sampah di kawasan mereka tidak lama lagi.

Gambar hiasan

Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memperkenalkan bunyi muzik untuk memaklumkan kepada penduduk kehadiran lori kontraktor sampah di kawasan mereka tidak lama lagi.

Pemangku Yang Di Pertua MPK,Ikhsan Mukri berkata, bunyi muzik itu akan dimainkan dari jam 7 pagi hingga 7 malam bertujuan menguar-nguarkan kedatangan lori sampah bagi memudahkan penduduk meletakkan sampah di tempat yang telah disediakan.

Menurutnya, majlis menerima reaksi positif daripada kontraktor untuk memasang audio itu kerana ia memudahkan tugas mereka termasuk membuat persiapan sebelum kutipan dilakukan.

“Pemasangan audio berbentuk mikrofon dan pemain cakera padat merupakan salah satu bentuk inovasi terkini majlis dalam usaha menangani masalah sampah di kawasan ini.

“Malah kita juga menerima maklumbalas yang baik daripada pemimpin setempat dan penduduk tentang cadangan berkenaan dan saya yakin ia mampu menambahbaik mutu perkhidmatan majlis di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan di Dewan Mesyuarat MPK baru-baru ini.

Hadir sama ahli majlis, ketua-ketua jabatan, wakil agensi dan jabatan terlibat.

Ikhsan berkata, majlis kini dalam proses akhir untuk mendapatkan persetujuan pemegang hak cipta lagu tersebut sebelum ia diubah mengikut elemen masyarakat tempatan.

Menurutnya, masalah sampah telah ditangani sebaik mungkin dan penambahbaikan sentiasa digandakan termasuk pengutipan sampah dari masa ke semasa di semua kawasan daerah ini.