Sebanyak 12,009 unit rumah kos rendah sedang dalam pembinaan di Selangor sementara 9,465 unit rumah kos rendah lagi dirancang untuk dibina di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri Iskandar Abdul Samad berkata rumah-rumah kos rendah ini mesti dibina dalam masa dua tahun.
Bercakap selepas Mesyuarat Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini, hari ini, katanya masih terdapat permintaan untuk rumah kos rendah memandangkan hanya ada 15,545 unit rumah kos rendah yang telah siap dibina berbanding dengan 31,081 pemohon yang masih menunggu tawaran bagi memiliki rumah-rumah berkenaan.
“Kerajaan Negeri juga telah membuat keputusan agar sesiapa sahaja yang layak patut diberi peluang untuk membeli rumah kos rendah ini dan mereka yang berminat boleh menghubungi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di talian 03-55447079,” katanya.
Antara syarat kelayakan membeli rumah kos rendah ialah warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bermastautin di Selangor dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan.
Satu permohonan hanya dibenarkan untuk satu keluarga sahaja dan pemohon mestilah belum memiliki rumah sama ada melalui projek kerajaan atau swasta, katanya.
Iskandar menasihatkan mereka yang pernah mendapat tawaran untuk membeli rumah kos rendah sebelum ini menerima tawaran tersebut atau akan ditawarkan kepada pemohon yang lain atau nama mereka akan dikeluarkan dari senarai
menunggu.
– Bernama