Penyerang kebangsaan Safee Sali akan pulang ke Malaysia esok selepas menjalani latihan dua minggu dengan kelab bola
sepak Cardiff City di bawah kendalian pengurus Malky Mackay.
Harapan pemain berusia 27 tahun itu adalah agar dapat diterima sebagai pemain kelab dari Wales itu yang bersaing dalam liga Inggeris.
Safee, yang kini bermain untuk kelab Indonesia, Pelita Jaya, berkata tempo permainan di England lebih pantas.
Penyertaan beliau dalam latihan dengan Cardiff City mendapat liputan meluas akhbar tempatan, malahan beberapa penyokong kelab itu turut mendapatkan autograf beliau semalam ketika pasukan itu menentang Leicester City. Beliau tidak bermain dalam permainan itu.
“Selepas menyertai pasukan simpanan dan juga pasukan utama dalam latihan, saya dapati permainan di sini lebih pantas. Ia di tahap berbeza,” katanya ketika ditemui di Stadium Cardiff City.
Safee, yang berasal dari Selangor, menyifatkan latihan yang dijalaninya sebagai berjaya dan beliau diterima dengan baik oleh pemain-pemain Cardiff City.
“Walaupun hanya dua minggu, saya banyak belajar. InsyaAllah, saya harap dapat kembali untuk bermain bagi pasukan ini di masa depan,” katanya.
Perlawanan Cardiff City dengan Leicester City itu turut disaksikan Pesuruhaya Tinggi Malaysia ke Britain Zakaria Sulong dan isteri, yang menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang diraikan oleh kelab berkenaan.
Safee, yang sebelum ini dianggap oleh pengurus Queens Park Rangers, Neil Warnock sebagai “David Beckham Malaysia” akan bermain untuk pasukan negara menentang Australia di Sydney pada 7 Okt ini.
Ini merupakan perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan itu dalam tempoh 20 tahun.
– Bernama