Pemandu perkenalkan sistem maklumbalas untuk seluruh PDRM Selangor

Pemandu perkenalkan sistem maklumbalas untuk seluruh PDRM Selangor

Ia bertujuan menambahbaik mutu kaunter perkhidmatan pelanggan PDRM dengan sistem rating berkomputer, SMS daripada orang ramai, ujar Urusetia NKRA Bukit Aman, DSP Lee Fong Koi.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) hari ini melancarkan sistem rating berkomputer dan sistem pesanan ringkas (SMS) maklumbalas orang ramai bagi menilai tahap mutu keberkesanan kaunter perkhidmatan pelanggan polis di Selangor.

Urusetia NKRA Bukit Aman, DSP Lee Fong Koi, berkata pengenalan sistem itu berikutan kejayaan program cegah jenayah NKRA diperkenalkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sejak Januari tahun lalu.

“Secara keseluruhannya, kes jenayah menurun sebanyak 15 peratus di mana jenayah di jalanan mencatatkan penurun tertinggi iaitu sebanyak 35 peratus.

“Selain itu, pelaksanaan sistem rating komputer dan SMS  ini bertujuan menambahbaik dan memantapkan lagi mutu perkhidmatan bahagian depan kaunter perkhidmatan pelanggan PDRM,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan IPD Ampang Jaya, petang tadi.

Mengulas lanjut, Fong Koi berkata sebanyak 165 sistem rating berkomputer telah dipasang di seluruh 82 balai polis di negeri ini bermula sejak Julai lalu sehingga September ini.

Menurutnya, sistem rating komputer khusus kepada pengadu membuat laporan di balai polis dan seterusnya menilai anggota polis menerusi skrin tertera mempunyai empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

“Pengadu akan melihat skrin komputer dan berhak memilik tahap mutu perkhidmatan berdasarkan empat pilihan iaitu sebagai contoh 1 (sangat tidak memuaskan) ,2  (tidak memuaskan), 3 (memuaskan) dan 4 (sangat memuaskan) selepas menerima salinan report daripada anggota polis bertugas.

“Penggunaan rating secara SMS telah mula dilaksanakan Julai lalu manakala sistem rating berkomputer pada awal Ogos lalu,” katanya.

Ditanya mengenai SMS, menurutnya orang ramai juga turut digalakkan menghantar SMS 1, 2,3 dan 4 ke 15888.

“Sehubungan itu, orang ramai perlu tolong kita untuk rating mutu perkhidmatan PDRM, tolong undi barulah kita tahu tahap pencapaian,” ujarnya.