Pihak pemaju perlu memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri, kata Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.
Katanya selain keuntungan, pemaju perumahan hendaklah turut memikirkan tentang kebajikan sosial penduduk tempatan.
“Ini adalah isu yang mendesak dan perlu ditangani segera demi kesejahteraan penduduk negeri ini. Kita tidak menolak pembangunan tetapi ia harus diseimbangkan dengan kebajikan sosial penduduk,” katanya.
Mansor berkata demikian pada sidang akhbar berhubung isu perpindahan penduduk di seluruh Pulau Pinang kerana kawasan kediaman mereka dimajukan oleh pemilik tanah, yang setakat ini menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk berhadapan masalah kehilangan tempat tinggal.
“Kebanyakan penduduk yang terlibat dengan masalah ini telah berpuluh tahun atau beratus tahun tinggal di sesuatu kawasan itu, pihak pemaju perlu memikirkan alternatif sewajarnya dan menyelesaikan dahulu tanggungjawab sosial sebelum meneruskan rancangan pembangunan,” katanya.
-Bernama