JPJ ingatkan orang ramai jangan guna ‘ulat’ untuk beli tiket balik kampung

JPJ ingatkan orang ramai jangan guna ‘ulat’ untuk beli tiket balik kampung

Berhenti mencari “ulat” jika tidak mahu berhadapan dengan masalah untuk pulang ke kampung menjelang musim perayaan ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Solah Mat Hassan.

Berhenti mencari “ulat” jika tidak mahu berhadapan dengan masalah untuk pulang ke kampung menjelang musim
perayaan ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Solah Mat Hassan.

Beliau berkata jika pengguna terus menagih khidmat ulat tiket, segala langkah yang diambil JPJ untuk menangani kegiatan ulat tidak akan memberi kesan.

“Penguatkuasaan JPJ tidak akan berkesan jika pengguna sendiri tidak berubah dengan membeli terus tiket di kaunter yang disediakan.

“Bagaimanapun JPJ sendiri akan terus memberikan perhatian serius terhadap perkara tersebut termasuk menangkap ulat tiket sama ada di terminal bas atau pun lapangan terbang,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniniti Satu JPJ Khas Pulau Redang di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 33 warga emas di Pulau Redang menerima lesen memandu motosikal masing-masing pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Mengulas lanjut, Solah berkata JPJ kini memberikan fokus ke atas 36 terminal bas di seluruh negara bagi menangani masalah ulat tiket dan sehingga kini ia telah menunjukkan kesan yang baik.

Katanya, semalam pihaknya telah menahan 12 ulat tiket, 10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Penerbangan Tambang Murah manakala dua lagi di terminal bas Pudu Raya.

Kesemua yang ditahan itu akan didakwa di bawah Seksyen 205 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Beliau menjelaskan mendapatkan perkhidmatan ulat tiket seringkali berlaku apabila pengguna gagal merancang perjalanan dengan membeli tiket di saat-saat akhir sedangkan permintaan untuk orang ramai pulang ke kampung pada musim perayaan adalah tinggi.

“Pengguna harus faham bahawa ulat tiket menjual tiket bukan sahaja dengan harga yang tinggi tetapi mereka juga menjual tiket dahulu tanpa ada bas sehinggalah jualan tiket mereka habis untuk sebuah bas, barulah mereka mencari
kemudahan bas.

“Di sinilah bermulalah masalah apabila bas tiada dan pengguna terpaksa menanggung kerugian serta gagal mendapatkan kemudahan tersebut,” ujarnya.

– Bernama