Hanya 112,420 dari 1.8 juta pekerja asing yang sah di negara ini mendaftar di bawah Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah sebelum ia berakhir 31 Julai ini.
Jumlah itu diperolehi sehingga Selasa lalu sejak program tersebut dilancarkan pada 13 Julai lepas.
Namun Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Sektor Dasar Imigresen dan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri, Alwi Ibrahim berharap jumlahnya akan terus meningkat setiap hari.
Beliau berkata pihaknya tetap berpuas hati dengan jumlah yang dicatat setakat ini dan turut tidak bercadang untuk melanjutkan tarikh pendaftaran.
“Kita baru hari kelapan (sehingga hari ini). Kita akan mempertimbangkan perkara ini (melanjutkan tarikh) selepas tarikh akhir pendaftaran, di mana kita akan melihat jumlah keseluruhan mereka yang telah mendaftar.
“Kalau kita sudah mula berfikir mengenai perkara itu, nanti tiada orang akan daftar esok lusa dan sebaliknya akan tunggu saat-saat akhir,” katanya kepada pemberita semasa melawat kilang Western Digital di sini hari ini sempena Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah di situ.
Alwi berkata pihaknya sedang bertungkus lumus turun padang bagi membantu proses pendaftaran sehingga terdapat kaunter pendaftaran dan syarikat yang dibuka sehingga tengah malam.
“Kami menyeru kepada majikan untuk membuat temujanji bagi mendapatkan anggota kami yang akan mendaftarkan para pekerja mereka. Jangan tunggu saat-saat akhir.
“Kami sendiri mempunyai kira-kira 1,000 orang pegawai yang ditugaskan bagi program ini dan ada kaunter yang dibuka 24 jam sehari seperti di cawangan Negeri Sembilan dan cawangan yang lain juga akan beroperasi 24 jam jika perlu,”
katanya.
Beliau berkata majikan boleh memilih sama ada untuk mendaftar pekerja mereka dengan membawa ke pejabat Imigresen ataupun memohon pegawai Imigresen untuk mendaftarkan pekerja di syarikat atau kilang masing-masing.
Alwi juga berkata pihaknya belum merancang untuk mengambil sebarang tindakan atau hukuman ke atas majikan dan pekerja yang gagal mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kita belum ada rancangan. Lagipun kita tidak mahu perkara ini (proses pendaftaran) menjadi beban sehingga ada pekerja yang lari. Kalau mereka sah kenapa perlu takut,” tambahnya.
Program biometrik diperkenalkan antara lain untuk mengenal pasti pekerja yang melarikan diri daripada majikan termasuk mereka yang membuang dokumen pengenalan diri mereka yang sedia ada dan menukar dengan dokumen baru berserta identiti yang berbeza.
Mereka yang dikenal pasti berbuat demikian tidak akan dibenarkan untuk menyertai program pemutihan dan dinasihati supaya kembali kepada majikan asal atau dihantar balik melalui program pengusiran.
– Bernama