Oleh Mohd Sabri Abdullah, Ketua Eksekutif Kumpulan perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan
Merujuk kepada laporan berita bertajuk “PM janji beri pejabat baru untuk persatuan kereta sewa pasir puteh”yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Bernama.com yang bertarikh 2 Julai 2011, Sabtu, laporan berita bertajuk “PM Janji Hentian Teksi Baru” yang dikeluarkan oleh akhbar Sinar Harian Bil 1751 Ahad 3 Julai 2011 di muka
surat K18, dan laporan berita radio Kelantan FM pada 2 Julai 2011, Sabtu, adalah dimaklumkan bahawa laporan berita adalah tidak benar dan berniat buruk serta menjatuhkan maruah Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan PKINK.
Pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan ini menegaskan bahawa tidak berlaku sebarang penjualan ke atas tanah tersebut pada masa ini kepada mana-mana pihak sebagaimana yang dilaporkan.
Dengan demikian, tidak timbul sama sekali isu bahawa Kerajaan Kelantan merampas tanah tersebut dan menjual kepada
syarikat swasta sebagaimana yang dilaporkan dan tanah tersebut masih menjadi hakmilik PKINK.
Pihak PKINK juga pada masa ini terus membenarkan Persatuan Pemandu Teksi untuk menggunakan tapak tersebut sebagai perhentian teksi.
Sehubungan dengan itu, PKINK dengan ini menuntut kepada BERNAMA, Sinar Harian dan Radio Kelantan FM supaya memohon maaf secara bertulis dan terbuka kepada PKINK dengan menyiarkan di muka hadapan BERNAMA.Com, muka hadapan Sinar Harian dan tajuk utama berita radio Kelantan FM dan menarik balik berita sebagaimana yang disiarkan berkaitan perkara tersebut dan membuat pembetulan sebagaimana kenyataan dalam Perenggan 2 di atas.