Usaha menyedarkan umat Islam di Sabah berhubung kepentingan zakat dan kewajipan mereka melaksanakannya akan terus dipertingkatkan, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri Nasir Tun Sakaran.
Nasir, yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, berkata kempen kesedaran berhubung kewajipan berkenaan terutama menjelang bulan Ramadan ini akan dijalankan bagi mengelakkan umat Islam daripada leka atau lupa menunaikan kewajipan zakat.
“Pegawai agama termasuk ustaz-ustaz akan berperanan memberi penjelasan mengenai kelebihan, kebaikan dan kewajipan membayar zakat kepada umat Islam di mana sahaja mereka ditugaskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains),” katanya kepada pemberita.
Nasir berkata masih ada umat Islam kurang memahami kepentingan zakat kepada ekonomi, pendidikan dan serta peranannya dalam membantu golongan kurang berkemampuan sehingga memandang ringan kewajipan itu.
Mengenai pelantikan amil zakat (wakil mengutip zakat) pada bulan Ramadan yang akan menjelang tiba, Nasir berkata pihaknya masih dalam proses melantik dan memberi tauliah kepada yang layak.
Menurutnya selepas pentauliahan, amil berkenaan bukan sahaja berkewajipan melaksanakan tugas memungut zakat sebaik-baiknya tetapi berperanan menjelaskan peranan dan kepentingan zakat serta menggalakkan umat Islam di kawasan masing-masing menunaikan rukun Islam keempat itu.
– Bernama