Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Musliati Moslimin menyelar kenyataan Timbalan Presiden, Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin yang mendakwa banyak kerusi di kawasan bandar di Sarawak tewas kerana kegagalan kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri menangani keperluan rakyat.
Menurut beliau kenyataan tersebut adalah tidak wajar kerana Chin sepatutnya faham mengenai semangat BN yang terjalin baik sekian lama.
“Kita tidak mahu mana-mana parti komponen BN melatah dengan keputusan pilihan raya Sarawak kerana dalam sistem demokrasi, pasti ada yang menang dan ada yang kalah. Kita perlu menerima dengan hati terbuka.,” ujar beliau.
Sebarang keputusan yang diperolehi semasa pilihanraya di negeri Kenyalang tersebut merupakan keputusan yang dibuat oleh rakyat, semua pihak yang terlibat perlu memikul tanggungjawab itu secara bersama, katanya lagi.
“Sebarang komen, ulasan dan kritikan tidak seharusnya dilakukan secara terbuka sehingga mengguris perasaan parti komponen lain sekali gus memperlihatkan suasana yang tidak baik kepada rakyat dan penyokong BN,” kata beliau yang turut berpendapat pilihanraya negeri Sarawak sepatutnya dijadikan panduan kepada semua parti komponen BN sebagai persiapan menghadapi pilihanraya umum ke-13.
“Malangnya kita pula yang seolah-olah terjerat dengan terikut-ikut kepada rentak parti pembangkang yang sememangnya suka melihat parti-parti komponen BN berpecah-belah,”
Semangat dan cara kerja BN terbukti berkesan kerana parti-parti Pakatan Rakyat sekarang ini jelas meniru konsep, amalan dan gerak kerja yang BN.
Tambah Musliati, LDP sebagai salah sebuah parti komponen BN juga sepatutnya sedar bahawa calon-calon parti pada pilihan raya lalu turut memerlukan sokongan daripada parti komponen untuk meraih kemenangan semasa menentang parti pembangkang.
UMNO sendiri banyak berkorban membantu memastikan kemenangan calon-calon LDP dan sepatutnya kerjasama baik itu tidak menjadikan LDP sebuah parti yang tidak merendah-rendahkan kemampuan parti komponen lain.
“Jadi jangan kita menjadikan kehilangan beberapa kerusi kepada parti pembangkang bagi menambah kekusutan kepada keharmonian semangat setiakawan dalam BN,”
“Kita penuh percaya kepimpinan BN Sarawak akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada dan melakukan perubahan terhadap apa yang perlu. Begitu juga dengan kepimpinan BN di peringkat Pusat.”
“Sepatutnya dalam isu ini, kita bersikap lebih positif kerana BN berjaya mengekalkan kemenangan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dan rakyat jelas menolak manifesto, janji dan segala tuduhan parti pembangkang.
“Kemenangan itu wajar dijadikan penyuntik semangat kepada kita semua untuk bekerja lebih keras termasuk mengatasi sebarang kelemahan yang wujud,” katanya.