Jalan utama menghubungkan Ranau – Kundasang buat masa ini terputus setelah satu kejadian tanah runtuh besar berlaku tengahari tadi kira-kira 7 kilometer dari Kinabalu Park.
Kesesakan lalu lintas dapat dilihat dari kedua-dua arah sepanjang lebih dua kilometer, apabila laluan tersebut tidak dapat dilaluï walaupun oleh kenderaan berat.
Tinjauan yang dilakukan di tempat kejadian mendapati bahawa jalan sepanjang lebih 50 meter ditimbusi tanah daripada kawasan bukit berhampiran.
Hanya satu jengkaut dilihat sedang memindahkan tanah di laluan sebelah Ranau, dan satu jentolak di laluan sebelah Kundasang.
Pekerja yang ditemuï oleh wartawan Komunitikini di tempat kejadian memberitahu bahawa masa yang lama diperlukan memandangkan kawasan jalan raya yang ditimbusi adalah agak luas, dan jumlah isipadu tanah yang perlu dipindahkan adalah agak besar.
Hujan lebat berterusan yang turun di kawasan Kundasang dijangka akan mengeruhkan lagi keadaan.
Sekurang-kurangnya tiga lagi kejadian tanah runtuh dapat dilihat di laluan dari Kota Kinabalu ke Kundasang yang menyebabkan hanya satu laluan dibuka kepada kenderaan.
Pengguna dinasihatkan agar mengambil laluan alternatif menggunakan laluan Kota Kinabalu – Kota Marudu – Pitas – Nangoh – Beluran.