Hampir 1,000 kenderaan terbiar dan yang menghalang lalu lintas disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh lima bulan ini.
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL, Sukiman Surahman berkata sebanyak 380 kereta dan 600 motosikal disita di beberapa kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu kota.
Hari ini, beliau mengetuai “operasi kenderaan buruk dan terbiar” yang ditinggalkan di petak letak kereta dan sepanjang jalan kawasan PPR, Pantai Dalam.
Sukiman berkata DBKL telah menerima banyak aduan tentang kenderaan yang terbiar serta menghalang lalu lintas orang ramai di kawasan PPR.
Beliau berkata DBKL telah memberi notis tujuh hari melalui pelekat yang diletak pada kenderaan terbabit untuk pemiliknya mengalihkan kenderaan mereka.
Hari ini 10 kereta telah disita di kawasan Pantai Dalam dan pemiliknya diberi tempoh seminggu untuk menuntut kenderaan masing-masing dengan membayar kompaun RM210.
Sukiman berkata selepas tujuh hari, kenderaan-kenderaan yang tidak dituntut akan dilupuskan oleh pihak DBKL.
Katanya DBKL akan membuat operasi seterusnya dalam beberapa hari lagi terhadap motosikal yang dibawa masuk ke rumah melalui lif kerana perbuatan demikian boleh merosakkan lif.
-Bernama