Tindakan sesetengah pihak menjadikan isu perpindahan sebanyak 29 keluarga rumah panjang PJS1, Petaling Jaya isu perkauman mesti dikutuk oleh seluruh rakyat Selangor.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, ada yang mempertikaikan kenapa hanya keluarga rumah panjang India mendapat bantuan sewa dan perpindahan walhal keluarga rumah panjang Melayu di kawasan-kawasan lain di Selangor tidak mendapat bantuan seperti itu.
Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan bantuan sewa RM14,285 setiap keluarga bukan di atas dasar bangsa. Bantuan diluluskan di atas dasar kemanusian.
“Keluarga tersebut telah tinggal di situ kerana pembinaan rumah kos rendah mereka telah terhenti akibat satu tindakan mahkamah dalam tahun 2004,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Iskandar berkata, bantuan itu diluluskan untuk membantu mereka mencari rumah sewa sehingga rumah kekal mereka siap. Rumah panjang mereka adalah terlalu dhaif untuk didiami.
Menurutnya, bantuan diluluskan di atas dasar itu dan bukan kerana mereka berbangsa India sepertimana yang mungkin didakwa oleh pihak-pihak tertentu.
“Tetapi terdapat juga mereka yang menyemarakkan api perkauman apabila mendakwa penduduk rumah panjang itu diminta berpindah kerana mereka berbangsa India,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, ini merupakan dakwaan yang berniat jahat kerana mereka diminta berpindah sebab di tapak rumah panjang itu hendak dibina sebuah sekolah.
Menurutnya, walaupun Kerajaan Persekutuan telah menangguhkan pembinaan sekolah itu pada bulan Ogos lepas, tetapi kerajaan negeri berharap jika tapak tersebut dikosongkan, pembinaan dapat dimulakan.
“Pembinaan telah ditangguhkan kerana penduduk telah enggan berpindah walaupun telah ditawarkan bantuan tersebut dan kerajaan negeri telah menambah jumlah bantuan dari jumlah asal RM10,000 sekeluarga pada bulan Mei 2011.
“Selain dari itu keadaan rumah panjang itu yang terlalu dhaif juga merupakan satu sebab kenapa penduduk perlu berpindah,” ujarnya.
Oleh itu, Iskandar berkata, keputusan memberi bantuan dan arahan untuk berpindah tidak dibuat di atas sebab-sebab perkauman.
Menurutnya, terdapat juga penduduk setinggan berbangsa Melayu yang dibantu oleh Kerajaan Negeri seperti bekas penduduk setinggan Kg Bukit Botak, Selayang.
“Terdapat juga penduduk setinggan selain dari berbangsa India yang diminta berpindah seperti di Ampang Campuran dan Kampung Pandan sekali gus memperlihatan Kerajaan Selangor sentiasa bertindak adil,” katanya.
Sehubungan itu, Iskandar menasihati rakyat Selangor seharusnya menolak dan tidak melayan mereka yang memainkan sentimen perkauman untuk mencari populariti.
“Usaha untuk melaga-lagakan antara kaum-kaum hanya akan menghancurkan masyarakat kita,” tegasnya.