Dua tukang masak adalah antara tiga orang yang terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke arah bertentangan dan melambung ke atas sebuah van di Jalan Syed Putra di sini hari ini.
Kedua-dua tukang masak itu, Lee Fong Hoon, 36, dan Oo Der Hing, 25, serta pemandu van, Raja Nazreen Raja Sulong, 34, mati di tempat kejadian, kata Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor kepada Bernama.
Beliau berkata kejadian pada 4.10 pagi berdekatan Sekolah Menengah Kuen Cheng itu turut menyebabkan seorang wanita cedera ringan apabila kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang van terbabit.
“Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Lee dari arah Petaling Jaya ke pusat bandar merempuh tiang lampu dan terbabas ke arah bertentangan lalu melambung ke atas van itu.
“Akibat dari kemalangan itu, van tersebut berpusing melawan arus dan dilanggar oleh kereta yang dipandu wanita itu,” katanya.
Rosli berkata mayat Lee dan Oo serta Raja Nazreen, yang bekerja sendiri, dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
-Bernama