Kebakaran yang berlaku pada 20 Oktober 2012 di Blok J Pangsapuri Sri Intan Bandar Seri Alam adalah dipercayai berpunca daripada barangan mudah terbakar yang disimpan di tingkat bawah kata penghuni penghuni pangsapuri itu.
Jayanthi Ramakrishnan, 39, berkata ada segelintir penghuni yang tidak bertanggungjawab meletakkan barangan mudah terbakar seperti minyak disel, tayar kereta, alat penganti kereta dan barangan kitar semula seperti surat khabar dan kertas kadbod berdekatan dengan tangga di tingkat bawah itu.
Katanya lagi terdapat tiga letupan kuat berlaku dalam kebakaran itu.
“Kami percaya mungkin kebakaran berpunca daripada kerosakan pada peranti pembahagi elektrik TNB (distributor) pada tingkat bawah berdekatan dengan tangga, tetapi letupan kuat itu disebabkan oleh minyak disel dan tayar kereta yang disimpan di bawah tangga berkenaan, ” kata seorang lagi mangsa kebakaran, Salina Md. Zain, 33.
Salina juga berkata tahap keselamatan di pangsapuri itu amat membimbangkan kerana ketiadaan laluan kecemasan, alat pemadam api dan saluran paip pemadam api di bangunan itu.
“Saya terpaksa “mencampakkan” dua anak saya dari tingkat dua melalui pintu gelongsor dan disambut oleh orang ramai. Memang tak ada tangga kecemasan atau pemadam api,” kata Salina menceritakan detik detik cemasnya menyelamatkan anak anaknya.
Dalam kebakaran yang berlalu dalam pada pukul 3.15 petang itu, seorang pelajar tingkatan tiga menjadi mangsa dan masih lagi dirawat di Hospital Sultan Ismail.
Ibu mangsa, Lee Chin Chin, 40, yang tidak ada di rumah pada ketika itu berkata anak perempuannya kelecuran di bahagian tangan, dada dan muka apabila cuba menyelamatkan diri dengan menggunakan laluan tangga utama.
Seorang lagi penghuni pangsapuri, Helen Richmond, 54, berkata banyak aduan dibuat terhadap penghuni yang meletakkan barangan mudah terbakar di tingkat bawah pangsapuri ini.
“Banyak aduan telah dibuat kepada pihak pengurusan tetapi tidak mengambil tindakan. Kami bimbang akan keselamatan anak anak kami yang berseorangan di rumah,” ujarnya lagi.
CJMY sempat menghubungi Pengerusi Persatuan Penghuni Sri Intan, Sam Chook Wai, yang berkata kebakaran itu berlaku disebabkan oleh kerosakan pada peranti TNB. Keadaan menjadi seruis apabila salah seorang penghuni pangsapuri menggunakan pemadam api yang salah untuk memadam kebakaran.
“Dia sepatutnya menggunakan pamadam api jenis serbuk bukannya jenis buih (foam). Ini yang menyebabkan api marak dan merebak dengan cepat.
Kami masih lagi menunggu laporan daripada pihak bomba dan TNB,” katanya lagi.
Kebakaran ini telah menyebabkan kerosakan pada bahagian tangga dan ruang halaman kesemua unit kediamam sehinnga ke tingkat empat.
Pangsapuri Sri Intan yang terletak berdekatan dengan gedung membeli belah TESCO di Bandar Seri Alam ini mempunyai sebelas unit blok bertingkat empat dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang.
Usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan Pangsapuri Seri Intan tidak berhasil.