Lelaki mati kena renjatan elektrik kabel keretapi

Lelaki mati kena renjatan elektrik kabel keretapi

Dalam kejadian lain, mayat lelaki dengan kecederaan parah di kepala di jumpa di Sungai Krayong, Cheras.

Dua lelaki ditemui mati dalam keadaan tragis pada dua kejadian berasingan berhampiran Stesen Keretapi Rawang dan di Sungai Krayong, Cheras hari ini.

Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 6.30 pagi, seorang lelaki berumur 20an ditemui rentung selepas terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi di sebuah gerabak keretapi terbiar berhampiran stesen itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosli Hassan berkata setiba ditempat kejadian, polis menemui mayat lelaki tersebut yang berada di atas bumbung gerabak itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 40 peratus badan mangsa melecur akibat renjatan dari kabel elektrik bervoltan tinggi dengan 25,000 kilowatt. Namun identiti mangsa belum dapat diperolehi,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Dalam satu kejadian lagi, kira-kira pukul 12.40 tengah hari tadi, satu mayat lelaki ditemui dengan kecederaan parah di kepala di tepi Sungai Kampung Sungai Sri Indah, Sungai Krayong, Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mayat ditemui oleh orang awam yang ternampak tubuh lelaki tersebut tersangkut di tepi sungai itu.

“Terdapat kesan lebam di bahagian belakang badan mayat dan tatu lambang kala jengking di kaki kanan mangsa,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

— Bernama