Kutip kitab dengan segera, rayu Idris Jala

Kutip kitab dengan segera, rayu Idris Jala

Pengimpot 35,100 Kitab Injil Bahasa Malaysia yang ditahan di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang digesa mengutip kitab-kitab itu dengan segera.

Kumpulan penganut agama Kristian yang mengimport 35,100 kitab Injil, yang kini ditahan di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang, diminta mengambil segera kitab-kitab itu untuk diberi kepada pembacanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Idris Jala berkata walaupun tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan meletakkan cop atau nombor siri pada kitab yang dikeluarkan, kumpulan itu perlu sedar tindakan sama juga dilakukan keatas al-Quran.

“Fokus utama adalah memastikan kitab Injil tersebut diberi kepada individu yang membacanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga telah memperoleh persefahaman bantuan daripada penderma Kristian untuk membayar kesemua kos 30,000 kitab Injil yang disita di Pelabuhan Kuching, Sarawak dan 5,100 naskhah di Pelabuhan Klang, Selangor secara percuma.

Untuk itu, pengimport kitab berkenaan boleh mengambilnya secara percuma dan sekiranya kumpulan terbabit tidak mahu mengambil semua kitab tersebut, penderma Kristian bersetuju untuk membayar kos membawa kitab Injil baru sebagai ganti danakan dicetak atau dicop dengan perkataan ‘Untuk Agama Kristian’

Idris berkata kerajaan juga bersetuju untuk mengeluarkan arahan supaya kitab Injil baru yang akan dicetak dalam bahasa Malaysia boleh dibawa masuk selagi perkataan ‘Untuk Agama Kristian’ dicop secara jelas menggunakan huruf cetak’Arial saiz 16 dengan jelas atau bold’ sewaktu tiba di pelabuhan tertentu.

“Ini adalah jalan penyelesaian yang adil dan munasabah dari kerajaan dengan bantuan penderma Kristian, kesemua 35,100 kitab Injil akan dikeluarkan secara percuma kepada pengimport.

“Tambahan pula, dengan wujudnya arahan kerajaan, adanya jaminan kerajaan bahawa dalam masa yang akan datang, kitab Injil yang diterjemahkan dalam bahasa Malaysia boleh diimport dan dikeluarkan dengan perkataan ‘Untuk AgamaKristian.”katanya.

Pada 15 Mac lepas, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching, Sarawak, dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Tindakan itu adalah selaras dengan warta 1982 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kitab itu mesti dicop dengan tag ‘Untuk Penganut Agama Kristian sahaja’.

Bagaimanapun penganut agama Kristian yang mengimport kitab itu enggan dan masih belum mengutip kitab-kitab tersebut kerana tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meletakkan cop atau nombor siri pada kitab yang dikeluarkan.

Ini menyebabkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan dianggotai timbalannya Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein dan beberapa menteri berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu.

— BERNAMA