300 keluarga mangsa kebakaran bantah kenaikan tarif elektrik

Gambar hiasan

Seramai 300 keluarga mangsa kebakaran Kg Muslim, yang kini ditempatkan di kem penempatan sementara Kg Kiansam di sini, membantah kenaikan tarif elektrik yang dikenakan oleh syarikat swasta yang dilantik oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mereka mendakwa akibat kenaikan tarif itu, mereka tidak mampu lagi membiayai bil elektrik setiap bulan yang jumlahnya mencecah puluhan ribu ringgit dan tidak lagi menerima bekalan elektrik sejak pertengahan Januari lalu.

Mereka yang merupakan mangsa kebakaran Kg Muslim pada Mei 2009, iaitu sebuah penempatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), ketika ditemui Bernama di sini, merayu MKN agar dapat menimbang untuk menarik balik pelantikan syarikat swasta, C3 Power (M) Sdn Bhd.

Wakil dilantik MKN, Sahadan Binsuy, 42, berkata hampir semua mereka telah mendapat taraf kewarganegaraan dan memiliki MyKad.

“Biasanya setiap bulan kami hanya membayar lebih kurang RM30,000 melalui satu meter Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), dan selepas diambil alih pengurusan bil oleh pihak swasta itu, ia berganda 100 peratus dan kini membayar lebih RM60,000 setiap bulan,” katanya.

Katanya apa yang menyebabkan ketidakpuasan hati mereka adalah kenaikan mendadak bil elektrik bulanan berikutan ‘caj yang dikenakan untuk setiap barangan elektrik’ dan bukan berdasarkan penggunaan.

Caj elektrik untuk setiap barangan seperti radio adalah RM11 setiap bulan, telefon rumah (RM11), lampu dan kipas (RM16), mesin cuci (RM26), pemasak nasi (RM41) peti sejuk (RM36) dan lain-lain dengan kadar yang tidak munasabah.

Bernama dalam satu temu bual telefon dengan Setiausaha Keselamatan negeri MKN Labuan Ichwan Fiska Rimaya Musly Thahar, menjelaskan bahawa pihak SESB pada dasarnya enggan untuk ‘membuat pengurusan’ bil untuk kesemua keluarga, tanpa memberi penjelasan lanjut.

Oleh yang demikian, pihak MKN telah melantik syarikat berkenaan untuk mengurus bil bagi pihak MKN untuk SESB.

Bagaimanapun, pegawai MKN berkata tarif elektrik yang dikenakan oleh pihak syarikat yang dilantiknya adalah berdasarkan kelulusan Suruhanjaya Tenaga.

– BERNAMA

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE