Bangkit 2.0 dan Bersih 3.0 diadakan serentak 28 April ini

 

Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) akan mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat atau Bangkit 2.0 pada 28 April ini, di Padang Merdeka. Kota Kinabalu.

Pengerusi Tabah, Hisammuddin Sulaiman berkata, perhimpunan tersebut bakal bergabung serentak dengan perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada tarikh serta lokasi yang sama.

“Tabah akan terus mengadakan perhimpunan aman ini tanpa melibatkan sebarang perarakan seperti mana yang diuar-uarkan akan dilaksanakan oleh Bersih. Tujuan kita hanyalah bagi menyuarakan perasaan rakyat dan orang kampung yang mengalami masalah tanah.

“Tabah juga akan memastikan setiap peserta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mahu sebarang anasir liar dan jahat dimulakan oleh peserta. Kita mahu buktikan kepada seluruh dunia bahawa peserta perhimpunan aman ini semuanya baik dan mengikut peraturan,” katanya.

Menurutnya, Tabah akan menghantar surat pemberitahuan kepada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi memaklumkan perhimpunan berkenaan dan memohon kawalan keselamatan bagi sebarang kemungkinan provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tabah hanya akan mengadakan perhimpunan sahaja. Sebarang perarakan perlu bertanyakan kepada parti politik sama ada mereka mahu buat atau tidak,” ujar beliau dalam sidang media pelancaran Bangkit 2.0 di sini kelmarin.

Sementara itu, Setiausaha Tabah yang juga Ketua Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu memaklumkan bahawa persetujuan awal yang diperolehi semasa pertemuan bersama Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi Zakaria pada Mac lalu juga turut mengakui hanya dua lokasi yang dibenarkan untuk perhimpunan iaitu sama ada di Stadium Likas atau Padang Merdeka.

“Polis sudah memberikan persetujuan, hanya dua lokasi di sekitar Kota Kinabalu ini sesuai untuk berhimpun sama ada di Stadium Likas atau Padang Merdeka.

“Cumanya, kita diminta untuk memaklumkan kepada pihak pengurusan berkenaan bagi penggunaan tempat,” jelas Lahirul.

Tambahnya, memorandum turut akan diserahkan semasa perhimpunan tersebut dengan diwakili oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

“Oleh sebab Ketua Menteri terlalu ego untuk berjumpa dengan rakyat semasa 123 Bangkit yang lalu, maka pada hari tersebut kita akan menyerahkan memorandum serupa kepada pimpinan Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Kita mahu, hak rakyat Sabah ini dikembalikan kepada mereka, katanya.