66 anggota TUDM terima beret biru PASKAU

Seramai 66 orang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lulus ujian asas komando siri 19/2011 semalam menerima beret biru, Pasukan Khas Udara (PASKAU) di upacara perbarisan penutup kursus.

Sinar kegembiraan terpancar pada air muka mereka yang berpakaian celoreng dipaliti lumpur dan tanah yang dipakai mereka sepanjang latihan keras selama tiga bulan itu.

Mereka berlutut untuk dipakaikan beret idaman oleh Panglima Markas Pendidikan dan Latihan Udara TUDM Mej Jen Datuk Azizool Arif Abdul Ghani.

Perbarisan penutup kursus asas komando udara itu diselangi dengan pertunjukan kemahiran anggota-anggota PASKAU menawan aset strategik musuh dengan melakukan penerjunan setinggi 1.8 meter daripada helikopter.

Mereka menyusup ke dalam kawasan musuh, menawan sasaran dan keluar dari kawasan operasi dengan hanya bergayut pada satu tali dari helikopter.

Kursus Asas PASKAU ini bermula pada 15 Sept lepas dengan penyertaan awal seramai 128 orang dan sepanjang latihan seramai 62 peserta telah digugurkan kerana masalah kesihatan dan juga menarik diri.

Seramai 66 berjaya menamatkan latihan, dan seorang daripada peserta, Laskar Udara Muhamad Hafiz Razak meninggal dunia.

Beret PASKAU untuk Muhamad Hafiz telah disampaikan oleh Azizool kepada bapanya, Razak Isa, 50.

Anugerah penuntut terbaik bagi siri kali ini ialah Laskar Udara Ameer Al Hafiz Alias, 28, dari Sekolah Ikhtisas Tentera Udara yang menerima pisau komando.

Razak ketika ditemui selepas perbarisan berkata walaupun beliau sedih dengan kepergian anaknya yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur tetapi beliau bersyukur kerana hajat Allahyarham tercapai.

“Memang cita-cita dia (Allahyarham) lepas sekolah mahu menjadi tentera,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ameer berkata beliau tidak menyangka akan muncul sebagai penuntut terbaik kursus asas komando pada kali ini.

Beliau berkata latihan mental dan fizikal begitu mencabar.

“Antara ujian paling getir…ialah berlari sejauh 160 km selama tiga hari dua malam,” katanya.

Sementara itu, Azizool berkata beliau ingin melihat pencapaian yang lebih membanggakan oleh peserta pada masa akan datang.

Mereka harus bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang anggota komando TUDM dalam melaksanakan operasi-operasi khas yang mencabar dan berisiko tinggi, katanya.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE