SPAD akan berbincang dengan KTB mengenai bas Cityliner

SPAD akan berbincang dengan KTB mengenai bas Cityliner

SPAD berkata ia akan menemui KTB pada Khamis bagi membincangkan lebih lanjut mengenai langkah sementara untuk perkhidmatan bas Cityliner, syarikat di bawah KTB, bagi operasinya di Selangor.

Photo from spad.gov.my

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata ia akan menemui Konsortium Transnasional Bhd (KTB) pada Khamis bagi membincangkan lebih lanjut mengenai langkah sementara untuk perkhidmatan bas Cityliner, syarikat di bawah KTB, bagi operasinya di Selangor.

KTB menggantung perkhidmatan di Selangor mulai Selasa akibat kerugian besar.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Kamal berkata suruhanjaya itu memahami kedudukan semasa membabitkan masalah bas berhenti-henti itu, namun ia perlu mengambil pendekatan hoslitik dalam menangani masalah di semua negeri di Malaysia dan bukan hanya di Selangor atau lokasi KTB beroperasi.

“SPAD sudahpun mengemukakan pelan transformasi bas kepada kerajaan, dan cadangan itu akan dibincangkan minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata cadangan yang dikemukakan itu, meliputi kajian model perkhidmatan bas di luar negara, selain cadangan memberi bantuan kepada pengusaha bas berdasarkan formula “bayar setiap kilometer”.

Mohd Nur berkata suruhanjaya itu juga sedang berbincang dengan pengusaha lain yang dapat membantu dan memenuhi kekosongan yang ditinggalkan oleh Cityliner.

“Perkhidmatan bantuan boleh disediakan oleh operator dari industri lain selagi mereka mematuhi standard keselamatan, perundangan dan perkhidmatan.

“Dalam hubungan ini, SPAD akan membantu mengeluarkan lesen sementara kepada mana-mana pengusaha yang mempunyai keupayaan untuk menawarkan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan mampan.” katanya.

– Bernama