Keperluan pekerja asing mengikut sektor ditentukan bulan depan

Keperluan pekerja asing mengikut sektor ditentukan bulan depan

Kerajaan dijangka menentukan keperluan jumlah pekerja asing mengikut sektor ekonomi pada pertengahan bulan depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Kerajaan dijangka menentukan keperluan jumlah pekerja asing mengikut sektor ekonomi pada pertengahan bulan depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Katanya seramai 93,000 pekerja asing tanpa izin (PATI) yang melalui proses pemutihan di bawah program 6P akan mengisi keperluan setiap sektor yang memerlukan tenaga kerja asing.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan mesyuarat pada minggu kedua bulan depan dengan Menteri Sumber Manusia, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pelancongan dan Menteri Pengajian Tinggi.

“Melalui mesyuarat ini, menteri-menteri yang bertanggungjawab akan menuntut jumlah keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor masing-masing,” katanya kepada pemberita.

Sebelum itu, Hishammuddin telah berjumpa dengan pegawai-pegawai kanan kementerian yang terlibat dalam proses pemutihan dan penguatkuasaan untuk Program 6P.

2.3 juta pekerja asing telah mendaftar untuk Program 6P setelah berakhirnya proses pendaftaran melalui sistem biometric pada 31 Ogos lepas dan 1.3 juta merupakan PATI dan lebih 50,000 pekerja asing telah membuat keputusan untuk kembali ke negara masing-masing.

Hishammuddin berkata pegawai-pegawai kementerian diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menyelesaikan masalah dan isu yang timbul, khususnya di bawah proses pemutihan dan antaranya termasuk keputusan dasar yang melibatkan kementerian lain.

Terdahulu dengan perjumpaan itu, beliau telah mengadakan satu pertemuan dengan wakil dan duta dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India.

Hishamuddin berkata pengeluaran dokumen perjalanan merupakan antara isu yang perlu ditangani bersama kedutaan masing-masing khususnya di bawah proses pemutihan.

Secara keseluruhannya, katanya beliau berpuas hati dengan Program 6P khususnya dari segi aspek keselamatan negara.

– Bernama