Monorel Melaka kembali beroperasi

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memberi kebenaran kepada pengendali perkhidmatan Monorel Melaka, Menara Taming Sari Berhad untuk menyambung semula operasi bermula 24 November 2011.

Kebenaran untuk menyambung semula operasi diberikan setelah pihak S.P.A.D. berpuas hati dengan pengendali, yang dapat memenuhi syarat-syarat berkaitan tahap keselamatan monorel tersebut.

Untuk rekod, SPAD telah mengeluarkan arahan Monorel Melaka menghentikan operasi pada 5 November 2011, bagi memberi peluang kepada syarikat pengendali untuk melakukan kerja-kerja teknikal berkaitan isu keselamatan.

Tempoh masa yang telah diberikan adalah selama 30 hari.

“Melalui pemeriksaan dari jurutera SPAD pada 23 November 2011, keseluruhan keperluan aspek keselamatan telah disediakan dan diperkukuhkan dengan mengambil masa tidak sampai tempoh 30 hari yang diberikan”,  menurut Ketua Pegawai Operasi SPAD, En Azhar Ahmad.

“Ini bermaksud, perkhidmatan Monorel Melaka akan dapat kembali beroperasi seperti biasa bermula 24 November 2011”.

SPAD adalah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan, antara lain untuk menyediakan pengangkutan awam darat yang selamat untuk digunakan.

Ini termasuklah meningkatkan keyakinan para pengguna samada dari kalangan rakyat Malaysia atau pelancong asing di dalam aspek keselamatan pengangkutan awam darat.

Ini sekaligus akan memastikan imej negara kita akan terpelihara, terutamanya di kalangan pelancong asing.