Cadangan pembinaan tram di Melaka, SPAD setuju

Gambar hiasan: MetroTram di Berlin

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersetuju mengemukakan cadangan pembinaan Sistem Tram Melaka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kelulusan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata cadangan yang dikemukakan pada 27 Okt lepas menyatakan pembinaan Tram bukan sahaja untuk produk pelancongan malah berfungsi sebagai pengangkutan awam di negeri ini.

” Tram ini berbeza dengan monorel kerana ia berfungsi sebagai pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang sedia ada di Melaka dan kita akan pamerkan kepada orang ramai (selama tiga bulan) untuk maklum balas,” katanya kepada pemberita pada persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, hari ini

Beliau berkata demikian ketika mengulas usul ‘Penangguhan kepada projek Tram Melaka yang bernilai RM272 Juta adalah tidak sesuai dijalankan pada masa kini’ yang dikemukakan oleh Betty Chew Gek Cheng (DAP-Kota Laksamana).

Usul itu ditolak oleh Dewan dengan sebulat suara.

Mohd Ali berkata projek tram bagi jajaran Ayer Keroh ke Bandar Hilir itu bertujuan menyediakan pengangkutan awam yang cekap, efisyen dan berteknologi hijau kepada masyarakat tempatan serta pelancong.

Projek pembinaan Tram Melaka dilaksanakan oleh Syarikat Mrails International Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Tram pertama yang menggunakan gas asli (NGV) di dunia dijangka dibuka kepada orang ramai pada Mei tahun depan.

Menerusi perjanjian itu, Syarikat Mrails bersetuju untuk mereka bentuk, membina, mengurus dan menyelenggara serta memantau operasi landasan dan “tramcar” selama 25 tahun, selain membiayai kos projek yang bernilai RM272 juta.

Tram ialah pengangkutan rel yang lebih ringan daripada kereta api dan berbeza daripada bentuk lokomotif lain memandangkan trek dibina di atas jalan raya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Md Yunos Husin berkata pemilik yang mengendalikan kegiatan mesin judi haram di Melaka tidak dapat dikenalpasti buat masa ini.

” Namun kegiatan ini berkemungkinan dijalankan oleh orang persendirian yang disyaki mempunyai rangkaian kepada kegiatan perjudian ini,” katanya ketika menjawab soalan Lim Jak Wong (DAP-Bachang).

Katanya kerajaan negeri sentiasa memantau operasi kegiatan mesin judi haram secara berterusan dan aduan orang ramai turut diperlukan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Md Yunos berkata, polis telah membuat 51 serbuan dengan merampas 252 mesin judi serta 91 orang ditangkap.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian Datuk R. Perumal berkata kerajaan negeri merancang dan mereka bentuk sistem pam saliran keluar ke Sungai Melaka bagi menghadapi masalah banjir.

“Sistem pam yang telah berjaya dibina adalah di Kampung Morten dan Rumah Pam Durian Daun,” katanya ketika menjawab soalan Chew.

Menurut Perumal pembinaan rumah pam itu dapat mengurangkan risiko banjir di kampung Morten, Durian Daun, Bukit Cina dan kawasan di sekitarnya.

Kerajaan negeri juga akan melaksanakan Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Parcel 2 dari Jambatan Hang Jebat hingga ke Batu Ampar bermula Disember ini dan dijangka siap pada 2013.

Persidangan dewan bersambung esok.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE