Pembeli flat kos rendah bantah kelewatan projek

Photo by ~gabrielfam

Kira-kira 60 pembeli unit flat kos rendah mengadakan perhimpunan di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di sini hari ini membantah kelewatan pemaju membina projek tersebut di satu kawasan selatan Petaling Jaya dekat sini.

Pengerusi jawatankuasa bertindak pihak pembeli tersebut, M. Sugumaran berkata mereka mahukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan pihak pemaju, Peter Brickworks Sdn Bhd, mengenai projek itu.

“Semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada 16 Jun lepas Menteri Besar memberitahu akan berusaha dalam masa empat hari menyelesaikan masalah kelambatan membina projek berkenaan.

“Tetapi sekarang lima bulan telah berlalu, tiada apa pun yang dibuat oleh Menteri Besar bagi menentukan projek berkenaan dipulihkan,” katanya kepada pemberita ditemui di luar bangunan sekatariat.

Sugumaran berkata mereka yang mengadakan perhimpunan hari ini adalah sebahagian daripada 276 keluarga pembeli flat kos rendah itu kini menerima notis pihak bank menuntut bayaran faedah tertunggak sementara projek masih belum dimulakan.

Beliau mendakwa pihak pemaju gagal menunaikan janji dibuat pada 2003 untuk membina flat berkenaan mengakibatkan pembeli tidak dapat memiliki rumah dan terpaksa pula menjelaskan bayaran pinjaman bank.

Sugumaran turut mendakwa kesemua 276 keluarga berkenaan kini terpaksa tinggal di beberapa rumah panjang buruk dekat PJS1, Batu 7, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya dan di rumah kos rendah Lembah Subang sejak hampir lapan tahun kerana flat yang dijanji dibina itu belum ada.

Sementara itu Abdul Khalid yang menerima memorandum mengenai projek berkenaan disampaikan Sugumaran, berkata beliau akan mengusahakan penyelesaian terhadap masalah pembeli unit berkenaan dalam masa seminggu.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE