Banjir: JPN mengenal pasti pusat peperiksaan berisiko

Banjir: JPN mengenal pasti pusat peperiksaan berisiko

JPN Kelantan mengenal pasti 67 pusat peperiksaan SPM yang berisiko tinggi dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengenal pasti 67 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berisiko tinggi dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Pengarahnya, Hussain Awang berkata semua pegawai unit peperiksaan, pengetua dan guru besar di negeri ini telah diberi taklimat berhubung kaedah dalam menangani keadaan itu jika banjir besar melanda negeri ini.

“Kita sedang membuat pemantauan dan meletakkan kakitangan terbabit dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi ancaman malapetaka itu dalam masa dua peperiksaan SPM dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) sedang berjalan sekarang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, JPN akan berhadapan dengan tiga kemungkinan situasi banjir iaitu pusat peperiksaan itu sendiri ditenggelami air atau putus jalan perhubungan ke pusat-pusat peperiksaan atau kedua-duanya sekali.

See also  Taylor's Uni shines in QS World University Rankings

Katanya, antara langkah awal yang diambil ialah menasihatkan pelajar atau calon peperiksaan yang tinggal di kawasan bersiko banjir supaya tinggal di rumah keluarga dan sanak saudara berhampiran pusat peperiksaan.

“Ini bagi mengelakkan kesulitan untuk berulang alik ke pusat-pusat peperiksaan jika berlaku banjir,” katanya.

Selain itu, katanya, mereka juga digalakkan tinggal di asrama manakala sekolah yang tidak mempunyai asrama diminta menjadikan sebahagian bilik darjah sebagai asrama bagi pelajar terbabit.

Katanya JPN tahun ini, membuka 336 pusat peperiksaan di seluruh negeri bagi menampung 42,797 calon yang menduduki kedua-dua peperiksaan itu di seluruh negeri.

– Bernama