Usah pinggirkan Ibu tunggal dan OKU

KINABATANGAN – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Ibu tunggal tidak pernah dipinggirkan malah kerajaan terus memberi komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan golongan tersebut.

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Ibu tunggal tidak pernah dipinggirkan malah kerajaan terus memberi komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan golongan tersebut.

Wakil rakyat Kuamut, Masiung Banah berkata, selain itu kerajaan sentiasa menyediakan aktiviti bagi memastikan golongan terbabit tidak merasa dipinggirkan.

“Tidak cukup dengan penyaluran bantuan oleh kerajaan itu, kedua-dua golongan tersebut juga disediakan dengan aktiviti sepanjang tahun bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan seperti dirasai masyarakat awam lain”, katanya ketika merasmikan Majlis Jalinan Mesra Sempena Penerimaan Sumbangan Sentuhan Kasih Di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.

Pada majlis itu, sebanyak 20-ribu ringgit disalurkan kepada 2-buah persatuan di daerah Kinabatangan bagi melancarkan aktiviti yang dirancang untuk dilaksanakan.

Daripada jumlah itu, 10-ribu disalurkan kepada Pemulihan Dalam Komuniti Kinabatangan sementara 10-ribu lagi kepada Persatuan Nur Kasih Ibu Tunggal Kinabatangan.

Masiung berkata, penyaluran sumbangan itu bagi menepati janji kerajaan dalam membantu semua golongan dan peringkat umur tanpa mengira kaum dan agama.

“Kerajaan menyalurkan sumbangan berbentuk wang ringgit ini bagi mengisi tabung bagi kedua-dua persatuan, justeru saya meminta agar kedua-dua persatuan ini dapat menggunakan dan mengurus sebaiknya kewangan yang disalurkan kerajaan itu”, jelasnya.

Beliau turut menggesa agar masyarakat  tidak meminggirkan komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) dan golongan Ibu Tunggal.

Katanya, sebaliknya masyarakat perlu bersama-sama memberi komitmen dalam menjaga kebajikan kedua-dua golongan itu.

Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan mereka tidak merasa dipinggirkan dalam menjalani kehidupan seharian seperti dinikmati masyarakat lain.

“Kita sebagai masyarakat prihatin dan sebagai ibu bapa , saya menggesa agar tidak berbelah bahagi dalam memberi kasih sayang kepada anak-anak OKU ini kerana mereka juga inginkan kehidupan seperti anak-anak yang lain, katanya.

Begitu juga kita sebagai masyarakat awam, seharusnya membantu golongan ibu tunggal dan bukannya meminggirkan mereka sehinggakan mereka takut bergaul dengan orang lain kerana takut dihina atau sebagainya”, tambahnya.

Gary Louis Supi