Polis nafi benarkan perhimpunan anti-Taib dengan syarat

Francis Siah

Polis menafikan bahawa ia telah menetapkan syarat tertentu sebelum membenarkan Gerakan Untuk Perubahan Sarawak (MoCS) mengadakan perhimpunan yang dijadualkan pada 13 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong berkata setakat ini polis tidak pernah memberikan sebarang respons bertulis berhubung permohonan permit mereka dan ia masih belum diluluskan.

“Kita tidak pernah menetapkan syarat dan kami masih meneliti permohonan mereka,” katanya, hari ini.

Dalam satu kenyataan melalui laman web badan bukan kerajaan itu, mocsarawak.wordpress.com, ketua MoCS Francis Siah hari ini mendakwa polis telah memberikan dua syarat sebelum membenarkan perhimpunan itu diteruskan pada Sabtu dan badan itu bersetuju memenuhi syarat yang ditetapkan polis.

Siah berkata polis akan membenarkan perhimpunan statik tanpa perarakan atau perbarisan dan bahawa permohonan bagi permit itu perlu dibuat melalui sebuah pertubuhan berdaftar.

Pada mulanya, dilaporkan bahawa perhimpunan itu dicadangkan bermula di Padang Merdeka atau Tebingan Kuching dan kemudian bergerak sama ada ke Reservoir Park atau halaman Muzium negeri.

Beliau berkata untuk syarat pertama, kumpulan itu akan ditempatkan di halaman Muzium berdekatan tugu peringatan untuk mengadakan upacara pengalungan bunga sebagai tanda hormat kepada wira Sarawak yang telah gugur dan keduanya MoCS didaftarkan bagi membolehkan ia bergiat dengan sah.

Rancangan MoCS untuk mengadakan perhimpunan itu dikritik pelbagai kumpulan termasuk 24 pemimpin belia akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu yang mendesak Siah membatalkannya sebagai menghormati bulan Ramadan.

– Bernama