Felcra kesal peserta jual tapak rumah

Pengerusi Felcra Berhad Tajuddin Abdul Rahman hari ini meluahkan rasa kesal kerana ada segelintir peserta tanah
rancangan Felcra menjual tanah tapak rumah bagi mendapat keuntungan segera.

“Kegiatan tidak beretika ini dilakukan oleh mereka yang terdesak untuk mendapat wang segera,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan geran hak milik untuk 248 peserta Rancangan Felcra Seberang Perak di sini.

Beliau berkata pengurusan Felcra telah diminta memantau isu berkenaan dan mengambil tindakan tegas termasuk mengambil semula tanah itu dan diberikan kepada peserta lain yang layak.

“Ada peserta yang terpedaya dengan pujukan pihak tertentu menjual tapak rumah yang merugikan diri mereka sendiri,” katanya.

Mengulas isu berkaitan, beliau berkata di Felcra Seberang Perak sahaja, sebanyak 1,300 peserta telah mendapat geran hak milik tapak rumah yang didiami oleh mereka sejak 30 tahun lalu.

Sebanyak 1,500 lot  tapak rumah lagi sedang disediakan untuk generasi kedua yang membabitkan kawasan seluas 160 hektar, katanya.

– Bernama