APMM ambil alih 91 kapal Marin dan Kastam 15 Ogos ini

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengambil alih 91 kapal daripada Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mulai 15 Ogos ini.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Mohd Amdan Kurish berkata sebanyak 60 kapal diambil alih daripada PGM manakala 31 lagi daripada Kastam.

Langkah itu berikutan APMM kini menjadi agensi tunggal bagi mengawal perairan negara, katanya.

“Kami memberi masa kepada dua pihak berkenaan untuk melakukan kerja penyelenggaraan kapal-kapal itu sebelum ia diambil oleh APMM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Mencari dan menyelamat
Antarabangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata pengambilalihan itu tidak termasuk 23 jeti yang boleh diguna sama dengan agensi-agensi berkaitan perairan negara.

Ditanya mengenai anggota PGM dan KDRM yang akan menyertai agensi itu, Amdan berkata mereka (anggota) boleh membuat pilihan sama ada ingin menyertai APMM atau kekal di bawah agensi terbabit.

“Setakat ini anggota Marin dan Kastam tidak ramai yang menyertai kami (APMM), bagaimanapun anggota sedia ada akan mengawal perairan negara yang mempunyai keluasan lebih 614,000 km persegi,” katanya.

APMM yang menjangkau usia enam tahun pada 14 Feb lepas akan menjadi sebuah agensi penguatkuasaan tunggal mengawal perairan negara Ogos ini.

Sebelum APMM ditubuhkan, terdapat lapan agensi maritim yang menguatkuasakan lebih 100 undang-undang Persekutuan, Peraturan dan Perjanjian iaitu Tentera Laut  Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen.

Mengenai persidangan itu, Amdan berkata matlamat persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu ialah untuk berkongsi maklumat mengenai sistem keselamatan perairan negara dengan enam negara iaitu Brunei, Singapura, Kemboja, India, Indonesia dan New Zealand.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE