Licinkan dan cepatkan proses pendaftaran rumah anak yatim

Oleh Miskam Hj. Suparman

Perhatian saya tertarik dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, bahawa Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, lokasi kejadian tanah runtuh baru-baru ini, tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Saya tidak mempertikaikan kenyataan menteri tersebut dan percaya mesti terdapat rekod JKM yang menunjukkan rumah anak yatim terbabit tidak berdaftar dengannya.

Apa yang ingin saya bawa kepada perhatian umum adalah proses untuk rumah yatim mendaftar dengan JKM, setahu saya, memerlukan kelulusan terlebih dahulu dari tiga badan berkuasa iaitu Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan pihak berkuasa tempatan.

Ini saya yakin adalah kerana terdapat syarat-syarat dan garispanduan yang mesti dipatuhi oleh sesebuah rumah anak yatim sebelum boleh ia dikenali secara rasmi sebagai rumah sedemikian.

Bagi rumah anak yatim pula, pendaftaran dengan JKM membolehkan bantuan kewangan berdasarkan bilangan anak yatim yang menghuni rumah tersebut diberi oleh JKM. Rumah anak yatim yang tidak mendaftar dengan JKM tidak layak menerima bantuan ini.

Apa yang membuat saya terkilan berkaitan perkara di atas adalah terdapatnya kes di mana tiga badan berkuasa yang disebut di atas lembab atau tidak responsif dalam memberi maklumbalas kepada permohonan yang telah diserah
oleh rumah anak yatim.

Saya sendiri tahu akan kes sebuah rumah anak yatim di Lembah Kelang ini yang selepas setahun membuat permohonan telah mendapat jawapan kelulusan daripada hanya satu di kalangan tiga badan berkuasa yang terbabit. Yang dua lagi terus bisu menyepi. Ini pada saya amatlah tidak bertimbangrasa.

Bantuan kewangan JKM amat besar maknanya kepada anak-anak yatim. Pihak-pihak yang berkuasa untuk memberi kelulusan mestilah bersikap lebih bertanggungjawab dan prihatin supaya tidak menutup rezeki anak yatim. Mereka
mestilah memberi keutamaan kepada permohonan kelulusan yang diterima dari rumah-rumah anak yatim dan bertindak sertamerta memberi maklumbalas mereka.

Sekiranya ada syarat dan garispanduan yang tidak dipenuhi oleh rumah anak yatim yang memohon, beritahulah dengan segera supaya langkah pembetulan boleh diambil oleh pengurusan rumah anak yatim. Pokoknya, ini semua akan memberi kesan kepada kebajikan dan rezeki anak-anak yatim penghuni rumah tersebut.

Saya juga menyeru kepada semua ADUN dan ahli parlimen, tidak kira dari apa parti politik sekalipun, untuk menyelidik sama ada terdapat rumah anak yatim di dalam kawasan masing-masing yang telah memulakan proses untuk mendaftar
dengan JKM tetapi masih belum mendapat kelulusan dari tiga pihak berkuasa yang dinyatakan di atas.

Saya menggesa mereka untuk memberi bantuan yang sewajarnya kepada rumah-rumah anak yatim itu supaya proses pendaftaran mereka dengan JKM tidak dilengah-lengahkan. Sekali lagi, perlu ditekankan bantuan kewangan JKM amatlah besar maknanya anak-anak yatim yang terbabit.

Susulan dari tragedi tanah runtuh yang menimpa Rumah Anak Yatim At-Taqwa, berbagai-bagai badan kerajaan dan politik telah menghulur bantuan kepada mangsa tragedi dan keluarga mereka. Ini pastinya adalah sesuatu yang amat
baik, menggembirakan dan positif. Yang mungkin sedikit negatif adalah kemungkinan bantuan diberi dan diumumkan atas motif mengaut keuntungan politik atau ‘political mileage’.

Saya dengan rendah diri menyeru semua pihak untuk memberi segala bantuan dalam apa bentuk sekalipun dengan niat ikhlas untuk menolong membebankan ringan mangsa tragedi dan keluarga mereka. Janganlah harapkan apa-apa pulangan dari pertolongan yang diberi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan isi hati kita sentiasa.

Buat akhir kata, marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada anak-anak dan penjaga rumah yatim yang menjadi mangsa tragedi menyayat hati itu. Semoga Allah swt mencucurikan rahmatNya ke atas roh mereka semua.  Al-Fatihah.

Miskam Hj. Suparman