Kenyataan: Tiada arahan roboh rumah di Kampung Kerandang

Kenyataan: Tiada arahan roboh rumah di Kampung Kerandang

Kerajaan Selangor ingin menegaskan bahawa tiada arahan dikeluarkan kepada Jabatan Hutan Negeri Selangor untuk merobohkan rumah penduduk dan memusnahkan tanaman di Kampung Kerandang, Hulu Selangor.

Kerajaan Selangor ingin menegaskan bahawa tiada arahan dikeluarkan kepada Jabatan Hutan Negeri Selangor untuk merobohkan rumah penduduk dan memusnahkan tanaman di Kampung Kerandang, Hulu Selangor.

Menteri Besar menjelaskan bahawa Jabatan Hutan Negeri Selangor hanya diarah menjalankan kerja-kerja pemetaan dan menanda kawasan Hutan Simpan Bukit Tarek untuk rekod selain salah satu usaha menyekat pencerobohan. Kampung Kerandang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Tarek.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar, Faekah Hussin telah mengadakan pertemuan dengan enam peneroka asal Kampung Kerandang baru-baru ini dan memberi jaminan kepada penduduk bahawa rumah dan tanaman mereka tidak akan dirosakkan.

Faekah menasihatkan penduduk terlibat supaya tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang cuba mengambil kesempatan mempolitikkan isu Kampung Kerandang tanpa menyiasat terlebih dahulu latar belakang isu berkenaan.

Kerajaan Selangor sekali lagi memaklumkan bahawa Kampung Kerandang bukan sebuah kampung yang sah serta tidak mempunyai ketua kampung dan JKKK yang diiktiraf oleh Kerajaan negeri.

Lesen menduduki sementara (TOL) telah dikeluarkan kepada 375 keluarga pada 2001 (walaupun tidak boleh dikeluarkan untuk kawasan hutan simpan) dan lesen TOL ini tamat pada 2004 tetapi  tidak pernah diperbaharui.

Selepas diwarta sebagai Tanah Rezab Melayu, satu permohonan terima dari lebih 700 pemohon termasuk 375 pemegang TOL awal untuk hak milik tanah.

Senarai nama ini telah diberi oleh pemimpin UMNO setempat ketika itu dan telah diberi kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.

Tinjauan terperinci ternyata hanya enam keluarga peneroka asal yang melibatkan kawasan seluas 12 ekar yang masih tinggal di kampung itu sehingga hari ini.

Kerajaan Negeri  akan mempamerkan senarai nama-nama pemegang TOL asal yang dikeluarkan pada 2001 serta nama-nama yang telah dicadangkan untuk menerima tanah TOL ini.

Individu-individu yang mahu menarik diri dari menerima tanah TOL dinasihatkan supaya berhubung terus dengan Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Kerajaan negeri akan terus menyelesaikan masalah ini secara professional, telus dan bertanggungjawab walaupun ada pihak yang cuba menghasut penduduk dan mengeruhkan keadaan dengan dakwaan-dakwaan palsu.