Anggota penguatkuasa maritim seleweng minyak petrol

Anggota penguatkuasa maritim seleweng minyak petrol

Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini mengaku salah di Mahkamah Sesyen atas 42 tuduhan pecah amanah melibatkan penyelewengan minyak petrol membabitkan sejumlah RM87,006 di Kuala Kedah dua tahun lalu.

Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini mengaku salah di Mahkamah Sesyen atas 42 tuduhan pecah amanah melibatkan penyelewengan minyak petrol membabitkan sejumlah RM87,006 di Kuala Kedah dua tahun lalu.

Laskar Kanan Maritim Azman Md Noh, 48, yang tidak diwakili peguam mengaku salah di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman terhadap kesemua pertuduhan yang dilakukan antara Januari hingga September 2009.

Tertuduh sebagai pegawai pengangkutan kenderaan rasmi Maritim Malaysia, Pangkalan Kuala Kedah, dibekalkan dengan kad minyak petronas smartpay didakwa melakukan pecah amanah iaitu menggunakan kad minyak itu bagi membeli minyak petrol untuk kepentingan diri.

Dia melakukan semua kesalahan itu di Stesen Minyak Petronas Imbang Moden Sdn Bhd di Jalan Batas Paip, Kuala Kedah antara 3 Jan 2009 hingga 23 Sept 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Jurubahasa mahkamah mengambil masa kira-kira 50 minit bagi membaca kesemua pertuduhan terhadap Azman.

Pihak pendakwaan yang diwakili Iznina Hanim Hashim dan A. Hafiz Abu Bakar memohon mahkamah menetapkan jaminan RM200,000.

Azman kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mahu ditawarkan jaminan kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Mahkamah menetapkan 12 Jun ini sebagai tarikh pembentangan fakta dan hukuman ke atas tertuduh.

Tertuduh ditahan oleh lapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam serbuan di rumahnya di Taman Juragan, Kuala Kedah kira-kira 6 petang semalam.

Dia pada mulanya cuba melarikan diri ke bumbung rumahnya dengan memanjat menerusi siling, namun setelah dipujuk oleh pegawai SPRM dan anggota polis yang turut membantu operasi itu, suspek akhirnya akur dan turun.

– Bernama